Khazanah rugi setelah 13 tahun, kenapa?

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sangat kesal dengan kedudukan kewangan terkini institusi strategik pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional, yang mencatatkan kerugian sebelum cukai yang pertama di bawah Pakatan Harapan dengan jumlah RM6.3 bilion dalam tempoh 13 tahun.

Advertisement

Sudah tentu jumlah kerugian yang besar pada tahun 2018 sangat mengejutkan semua pihak berbanding kerugian yang pernah dialami pada tahun 2005 sekitar RM830 juta. Tambahan pula, keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan pada tahun 2017 ialah RM2.9 bilion.

Prestasi kewangan Khazanah Nasional menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat. Mengapa hal ini boleh berlaku? Bagaimana nilai aset Khazanah hilang sebanyak RM25 bilion dalam tempoh kira-kira 12 bulan? Mengapa rosot nilai menjangkau sehingga RM7.3 bilion iaitu melebihi tiga kali ganda berbanding RM2.3 bilion pada tahun 2017?

DPPM tidak menolak faktor global seperti tekanan perang dagang dan kelembaban pasaran, tetapi faktor domestik yang berlaku disebabkan ketidaktentuan polisi, tiada hala tuju yang jelas dan persekitaran ekonomi kurang kompetitif mengakibatkan kedudukan kewangan Khazanah terjejas teruk.

Tiga aset pelaburan menyumbang kepada prestasi buruk dua digit. Pertama, Malaysia Airlines Bhd. Kedua, Telekom Malaysia dan ketiga ialah Axiata Group Berhad. Antara sebab hal ini berlaku adalah kerana perubahan drastik regulasi dan ketidak jelasan polisi daripada pihak kerajaan.

Kerugian RM 6.3 bilion Khazanah Nasional turut akan menjejaskan kantung Kerajaan Persekutuan menerusi dividen pelaburan. Sekiranya hal ini berlaku, maka tidak mustahil Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah hutang atau mengenakan cukai baharu yang lebih membebankan rakyat.

DPPM juga bimbang tindakan segera Kerajaan untuk menjual aset-aset strategik akan terus berlaku. Hal ini boleh dirujuk dalam satu laporan berita bertarikh 14 Februari lalu yang menyatakan Khazanah bersedia untuk menjual lebih banyak aset domestik dan luar negara supaya dapat menyuntik lebih banyak wang ke dalam kantung kerajaan.

Akhir sekali DPPM berharap agar pihak Kerajaan menjelaskan faktor-faktor di sebalik kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion, kehilangan aset RM25 bilion dan rosot nilai RM7.3 bilion Khazanah dan mesti bertanggung jawab untuk memperbaharui semula kedudukan ini bagi tahun kewangan 2019.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia
29 Jamadil Akhir 1440 | 6 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 6/3/2019