Guan Eng takut perpaduan Melayu

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ‘ketakutan’ dengan perpaduan orang Melayu.

Advertisement

Katanya, kerjasama PAS-Umno bukan perkara baharu tetapi ditakuti oleh pemimpin DAP itu kerana penyatuan Melayu Islam di negara ini.

“Saya rasa itu ketakutan dia bila berlakunya perpaduan Melayu. Dia tidak boleh gunakan orang Melayu untuk kepentingan politik dia. Itu ketakutan dia. Tapi, kepada kita tidak mengabaikan kaum lain.

“Kita menerima konsep pendatang yang dibawa oleh British jadi rakyat. Sepatutnya, kaum lain menghargai jasa orang Islam, menerima mereka jadi rakyat, hak beragama dan berbahasa.

“Setahu saya, di Indonesia tidak dibenarkan buka sekolah Cina, di Thailand tidak dibenarkan buka sekolah Cina. Tapi, di tempat kita ini dibenar buka sekolah Cina, buka sekolah Tamil.

“Sepatutnya, mereka kenang budi. Ini hendak minta lebih lagi dan suatu perkara yang tidak patut,” tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan Tazkirah Bulanan di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, penyatuan dan perpaduan orang Melayu itu bukan hanya dengan Umno tetapi termasuk parti-parti lain dalam Gagasan Sejahtera.

“Memang kita mahu bekerjasama dengan mana-mana parti Melayu. Kita dapati orang Melayu berpecah. Orang Cina tak berpecah. Orang Cina, dia pakat undi DAP, MCA pun undi DAP, orang Gerakan pun undi DAP.

“Kita Melayu ini, kalau banyak parti ikut jumlah parti itu. Dengan sebab itu, kita berpendapat perlu menyatukan parti-parti orang Melayu. Parti orang Melayu ini yang tinggal hanyalah PAS, Umno dan Bersatu.

“PKR bukan parti Melayu, PAN bukan parti Melayu. Dengan sebab itu kita bekerjasama dengan parti-parti Melayu termasuk Bersatu dalam kerajaan sekarang. Kita anggap itu parti Melayu.

“Apa yang penting ialah PAS bekerjasama dengan Umno dan Bersatu, parti-parti Melayu ini, termasuklah parti yang ada dalam Gagasan Sejahtera dan bukan dengan Umno sahaja,” jelasnya.

Selain itu, katanya PAS menegaskan mahu mengembalikan kepimpinan negara ini kepada orang Melayu Islam.

“Sebab itu kita menyokong Tun (Mahathir) terus menjadi Perdana Menteri sampai habis penggal, bukan untuk mengembalikan Najib Razak.

“Dato’ Seri Najib sudah tidak jadi Perdana Menteri dan bukan Presiden Umno pun sekarang ini. Sekarang ini Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan kita pertahankan dia sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal,” tegasnya.

Apa yang menarik, menurutnya kerjasama PAS-Umno itu boleh diterima di peringkat bawahan ahli terbukti dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih. – HARAKAHDAILY 7/3/2019