Hina Nabi: Laporan polis seluruh Perak

KUALA KANGSAR: Sehingga petang semalam, 20 daripada 24 kawasan Parlimen seluruh Perak telah membuat laporan polis bersabit isu terbaru penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W.

Advertisement

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata, semua laporan polis yang dibuat itu digerakkan oleh UMMAH, Jaringan NGO Islam, PAS dan Umno.

Menurutnya, 10 Parlimen telah membuat laporan serentak kelmarin, manakala 10 lagi semalam dan hari mungkin akan ada lagi kawasan-kawasan yang akan membuat laporan polis.

“Setiap Parlimen yang telah membuat laporan polis turut disertai oleh pimpinan PAS dan Umno, membuktikan sokongan kuat daripada kedua-dua parti terbesar umat Islam dan orang Melayu itu.

“UMMAH Perak mengepalai gerakan melaporkan isu terbaru itu kepada polis sebab tidak mahu penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W berterusan berlaku.

“Laporan dibuat supaya pihak polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu terbabit yang seolah-olah sengaja mahu menimbulkan suasana kehidupan yang tidak harmoni di dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia ini.

“Sepatutnya kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara perlu dihormati oleh semua pihak,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Khalil Idham Lim menambah, tindakan tegas mestilah diambil ke atas individu yang terbabit dengan penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W dengan harapan isu seumpama itu tidak lagi berulang pada masa-masa akan datang. – HARAKAHDAILY 7/3/2019 

IMG 20190307 WA0014