Penyatuan umat bersama Islam

FIRMAN Allah:

Advertisement

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103) وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104) وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (105)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai (berpecah); dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk (hidayahNya). (103); Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam yang sempurna), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (104); Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (105) (Surah ‘Aali ‘Imraan: 103-105)

Sebab turunnya ayat-ayat ini bersempena dengan ancaman terhadap kesatuan umat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W., yang terdiri daripada kumpulan Muhajirin (pendatang yang beriman dan berhijrah ke Madinah) dan golongan Ansar (penduduk asal Madinah yang beriman) terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Mereka bersatu bersama Islam sehingga berkuasa dalam masyarakat majmuk yang ada juga bukan Islam daripada kabilah-kabilah Yahudi dan Musyrikin Arab serta kalangan munafiqin, di samping selepasnya datang pula kaum Najran yang menganut Kristian.

Kesatuan umat Islam dan perpecahan kalangan bukan Islam menjadikan Islam memimpin negara yang berdaulat berdasarkan akidah Islam dan konsep hukumnya yang adil terhadap semua. Kejayaan umat Islam yang bersatu menyebabkan kedengkian orang-orang Yahudi terhadap mereka, lalu dirancangnya supaya umat Islam berpecah, khususnya dalam kalangan Aus dan Khazraj yang pernah berperang pada zaman jahiliah.

Perancangan jahat Yahudi yang diatur dengan meniupkan semangat kabilah pada zaman jahiliah yang berbangga dengan pahlawan masing-masing, sehingga hampir mencetuskan semula peperangan, lalu Allah mewahyukan ayat-ayat tersebut dan Rasulullah S.A.W. datang membaca ayat-ayat tersebut dan bersabda: “Adakah kamu mahu kembali semula kepada jahiliah setelah kurnia Allah bersama Islam ketika aku masih berada di kalangan kamu?’’.

Iman yang ada dalam diri mereka mendatangkan keinsafan dan kesedaran semula, sehingga mereka menangis kesesalan dan berpeluk bermaaf-maafan. Inilah semangat yang digerakkan oleh iman yang masih ada dalam diri mereka. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat: 10)

Al-Quran adalah mukjizat petunjuk kepada mereka yang beriman sepanjang zaman. Maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjadikannya petunjuk dan panduan tertinggi, bersama Sunnah Rasulullah S.A.W. yang mentafsirkan, serta tafsir para ulama’ muktabar, semuanya ditegaskan dalam Perlembagaan PAS dengan mentafsirkannya pula dalam situasi dan realiti terkini di negara tercinta ini.
PAS tetap mengambil kira terlebih dahulu bangsa Melayu yang ditafsirkan tidak berpisah bersama Islam walaupun kalangan sejahil-jahilnya, sehingga diucapkan Melayu itu tetap Islamnya walaupun mengata dan bertindak di luar batas iman kerana kejahilannya, namun tetap mempunyai kemanisan iman yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W.:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ، وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ؛ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ، أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ. (رواه مسلم)

“Tiga perkara, sesiapa yang masih ada dalam dirinya (perkara-perkara ini) menandakan masih ada kemanisan iman dalam dirinya, iaitu: Sesiapa yang kasihkan Allah dan Rasul lebih daripada yang lain, dia tidak kasih kepada seseorang melainkan kerana Allah (Islam) dan dia bencikan kekufuran laksana tidak mahunya ke neraka (marah kalau dikatakan kafir)”. (Riwayat Muslim)

Maka PAS mengambil kira parti Islam dan Melayu iaitu Umno, Bersatu (walaupun dalam kerajaan) dan NGO Islam, tetap bersama PAS walaupun berbeza pendekatan.

PAS menolak parti-parti yang bermusuh terhadap Islam atau tidak berasaskan Islam dan Melayu serta tidak bermaruah sehingga pemimpinnya menagih pengampunan, seperti PKR (pelbagai kaum dan berideologi sekular pragmatik) dan PAN (yang bernyawakan pihak lawan sehingga tidak berani bersuara Islam) tanpa mengira individu yang pelbagai warna dan fahaman di dalamnya.

PAS adalah parti Islam dan Melayu tidak lupa terhadap kawan dan lawan, tetap mengambil kira terhadap bukan Islam yang selamat bersama Jus Soli. PAS mengenali mereka yang mengenang budi diterima menjadi rakyat yang diberi hak beragama, berbangsa, berbahasa dan berbudaya. PAS juga mengenali kalangan mereka yang tidak mengenang budi sehingga mengasak Islam dan Melayu secara terbuka dan bersembunyi.

Maka setiap keadaan yang mencabar kedaulatan Islam dan Melayu tetap diperjuangkan oleh PAS bersama parti Islam dan Melayu, tanpa menzalimi kaum lain yang tidak seagama dan sebangsa yang tetap menjadi saudara kemanusiaan sejagat, kerana menjadi konsep Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Inilah risalah nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W. yang diimani oleh penganut Islam bahawa manusia adalah satu umat dalam keluarga yang besar, bermasyarakat Madani yang dinamakan umat dakwah sama ada Islam atau bukan Islam, dan umat ijabah yang telah menganut Islam yang diwajibkan memimpin berkonsepkan adil terhadap semua dan memelihara hak asasi manusia walaupun berbeza agamanya. Ini berpandukan firman Allah:

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40) الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ (41)

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40); Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. (41) (Surah Al-Hajj: 40-41)

Hanya Islam yang bersejarah apabila berkuasa mampu menangani masyarakat majmuk dalam negara berkonsepkan Rabbani, ekonomi yang adil terhadap masyarakat, kedaulatan syariat dan berwawasan Akhirat.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Jamadil Akhir 1440 / 7 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 7/3/2019