Yaman: Teroka zon konflik bantu mangsa perang

SALALAH, Oman: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) mahu mengadakan kerjasama dengan banyak NGO ke arah meneroka usaha lebih luas dan giat terhadap tindakan mendepani kesan konflik perang di Yaman.

Advertisement

Menurut Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor, disebalik gerak kerja bantuan kemanusiaan dihulurkan pelbagai pihak termasuk agensi badan antarabangsa dunia, ianya masih terlalu jauh dari mencukupi.

Terutama paling kritikal katanya, tiada pihak berani memasuki kawasan atau zon konflik sedangkan terdapat ramai lagi penduduk yang menjadi mangsa dan terperangkap tanpa mendapat sebarang bantuan.

Oleh itu terangnya, kerjasama pelbagai pihak itu untuk merangka usaha lebih terancang terutamanya untuk memasuki zon-zon konflik bagi menghulurkan sumbangan bantuan atau sebarang inisiatif lain diperlukan mangsa.

Beliau menjelaskan, keterbatasan atau halangan untuk memasuki zon sedemikian bukan sahaja disebabkan faktor konflik sedang meletus, tetapi juga memerlukan kekuatan bekalan bantuan dan aspek teknikal keselamatan.

“Ada bertanya kenapa kita hanya menemui migran perang yang tersenyum riang, tiada tangisan? Ya, mereka gembira dengan kehadiran kita membawa bantuan. Lagipun kita tidak dapat masuk ke zon perang yang memerangkap ramai mangsa.

“Sudah tentu mereka yang terperangkap di situ sedang menangis dan berdepan pelbagai risiko berat seperti kebuluran dan kematian. Kita sedia meneroka ke sana pada misi-misi berikutnya. Kita telah memohon NGO Yaman iaitu Jamiyat Al-Islah Al-Ijtimaie Al-Khairiah (CSSW) membantu.

“Mereka juga akan kemukakan proposal segala keperluan yang boleh kita sedia atau laksanakan pada misi berikutnya di kawasan kritikal seperti di Sana’a terutamanya.

“PASRelief juga datang ke sini untuk menghentikan tangisan mereka. Kita mahu menghadirkan kelegaan, kedamaian dan memberi keceriaan pada mereka (migran mangsa perang),” jelas beliau.

Serahan bantuan misi kali ini telah disempurnakan dan delegasi bergerak keluar dari Ma’arib kembali menempuh perjalanan darat 1,500 kilometer dalam tempoh kurang 30 jam dengan bertukar empat kenderaan hingga tiba di bandar ini.

Delegasi yang turut disertai Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ustaz Mohd Yusni Mat Piah ini akan ke Muscat dengan pesawat petang ini sebelum menyambung penerbangan ke Kuala Lumpur tengah malam nanti.

Orang ramai boleh terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa dan sebarang pertanyaan hubungi 012-596 9220 (Sanusi) atau 013-384 5555 (Mohd Adram Musa).HARAKAHDAILY 7/3/2019 

IMG 20190307 WA0037

IMG 20190307 WA0038

IMG 20190307 WA0039

IMG 20190307 WA0040

IMG 20190307 WA0041 

IMG 20190303 WA0008