Bekas buruh paksa Jepun tidak terbela

KOTA BHARU: Penderitaan kira-kira 72,000 rakyat Tanah Melayu yang pernah menderita akibat dipaksa menjadi buruh di Burma pada 1942-1946 tidak berpenghujung sehingga sekarang.

Advertisement

Hampir kesemua buruh terbabit sebahagian besar dari Kelantan yang diangkut ke Burma, kini sudah tidak ada lagi.

Daripada jumlah tersebut hanya kira-kira 30,000 orang sahaja yang pulang semula ke kampung mereka. Namun kisah penderitaan dan kesengsaraan mereka hanya diketahui anak cucu dan cicit sahaja.

Namun kisah penderitaan mereka sejak awal lagi mendapat simpati kerajaan Jepun apabila dikatakan menyalur dana sebanyak RM207 bilion.

Wang tersebut sudah lama disalur kepada kerajaan Malaysia dan disahkan Pejabat Gabenor Bank Negara pada 13 Disember 2014.

Oleh itu bagi meneruskan perjuangan datuk nenek mereka, anak cucu yang ada sekarang menubuh badan bukan kerajaan yang dikenali Persatuan Bekas Buruh Paksa Jepun (Kelantan) 1942-1946 (Warisan).

Presidennya Hassan Mahmood berkata, persatuan itu merupakan yang keenam ditubuh bagi memperjuangkan nasib keluarga bekas-bekas buruh paksa di Burma.

Katanya, persatuan yang memperjuangkan nasib bekas buruh paksa pada peringkat awal ditubuh sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“Namun hayat persatuan terbabit tidak panjang sedangkan perjuangan mereka tidak tercapai sehingga sekarang.

“Jadi kami mengambil inisiatif menubuh persatuan baharu yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi memastikan organisasi diurus secara lebih profesional dan sistematik,” katanya di sini.

RoS meluluskan pendaftaran NGO terbabit pada 25 Julai 2018 dan sekarang dikendalikan 15 ahli jawatankuasa.

Menurut Hassan perjuangan mereka bagi memastikan keluarga bekas buruh paksa Jepun lebih terbela memandangkan negara tersebut difahamkan sudah membayar saguhati kepada kerajaan Malaysia pada 21 September 1967.

Beliau juga berkata, sehingga sekarang hanya NGO terbabit yang sah dari segi undang-undang memandangkan persatuan serupa yang pernah wujud sebelum dibatalkan pendaftaran oleh kerajaan.

Oleh itu mana-mana pihak yang mahu mendapat maklumat boleh menghubunginya di talian 016 962 5851 atau Sarmidi Mohd Zain (setiausaha) – 019-3691088. – HARAKAHDAILY 8/3/2019