Kenyataan Guan Eng melampau

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sangat melampau.

Advertisement

Kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama PAS-Umno merupakan pengisytiharan perang ke atas masyarakat bukan Melayu amat mengguris hati ramai.

“Ketika Barisan Nasional memerintah pun kita sudah berbaik, kenapa mulutnya tidak celupar pada ketika itu, adakah sekarang kerana dia sudah ada kuasa mulutnya menjadi celupar,” ujar beliau selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, petang ini.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Dato’ Noraini Ahmad turut mendesak pihak berkuasa agar melakukan sisatan terhadap Guan Eng.

Kata beliau, kenyataan itu berunsur hasutan dan juga fitnah.

Muslimat PAS bersama Wanita Umno, Wanita MCA, MIC, IPF, PPP, dan KIMMA hari ini mengambil pendirian dan sepakat membuat laporan polis ke atas Menteri Kewangan itu.

Laporan polis dibuat berhubung kenyataan Guan Eng yang dilihat yang berniat jahat, menghasut dan membakar perpaduan kaum di negara ini.

Sehubungan itu, sayap wanita pembangkang mengharapkan pihak berkuasa mengambil serius terhadap kenyataan Guan Eng sebagaimana dilaporkan portal MalaysiaKini pada 6 Mac: “Lim calls Umno-PAS union a declaration of ‘war’ on non-Malays“. – HARAKAHDAILY 8/3/2019