Kenyataan ‘perang’ Guan Eng biadap

khalil2

MARANG: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan, kenyataan kontroversi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersifat biadap dan tidak bertanggungjawab dalam konteks Malaysia.

Advertisement

Ketuanya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, laporan polis terhadap Guan Eng dibuat bersama antara Pemuda PAS, Umno, MCA dan MIC.

Katanya, kenyataan pemimpin DAP itu amat tidak wajar, tidak bertanggungjawab serta menyerlahkan sikap ‘cauvanis’ parti itu.

“Kenyataan itu biadap dan tidak bertanggungjawab, kenyataan yang membuktikan DAP adalah sebuah parti yang ‘cauvanis’. Sebuah parti yang tidak mahu melihat orang Melayu Islam khususnya, bersatu dan bersepakat.

“Kita di peringkat pemuda bersama dengan Pemuda Umno, MCA dan MIC telah membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng, dan akan ada lagi report-report yang lain pada hari seterusnya.

“Kita mahu pihak berkuasa khususnya polis menyiasatlah kerana kenyataan itu satu kenyataan yang sangat bahaya. Ianya, boleh mengundang ketegangan kaum dalam negara kita,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Rusila, malam tadi.

Ketika ditanya perlukan pemimpin DAP itu memohon maaf, kata Ustaz Muhammad Khalil, Lim Guan Eng mesti menarik balik kenyataan itu.

“Saya kira dia perlu menarik balik kenyataannya. Jika sekiranya dia seorang yang bertanggungjawab, dia perlu menarik balik kenyataan itu.

“Kerana kenyataan itu tidak bertanggungjawab dalam konteks kita berada dalam masyarakat majmuk di negara kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk.

Katanya, kenyataan Guan Eng itu menyifatkan kerjasama PAS dan Umno sebagai ‘pengisytiharan’ perang ke atas masyarakat bukan Melayu di negara ini. – HARAKAHDAILY 8/3/2019