MCA tidak perlu takut bayang-bayang DAP

KHALIL3

MCA tidak perlu jadi DAP untuk dapatkan sokongan kaum Cina. Apa yang perlu bagi MCA ialah untuk menjadi lebih kompetitif, lebih telus dan lebih berdaya saing untuk menjadi pilihan utama kaum Cina. Selepas PRU14, MCA perlu tahu bahawa sokongan kaum Cina terhadap DAP telah mula menurun. Maka boleh di katakan DAP bukan lagi pilihan utama kaum Cina.

Advertisement

MCA tidak perlu takut dengan PAS atau menjauhi PAS. PAS bukan ektremis agama dan pelampau bangsa seperti yang diungkap, apa yang PAS perjuang hanyalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang iaitu Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tidak lebih dari itu. Selebihnya hanyalah retorik dan ciptaan musuh untuk menakutkan rakyat dan mungkin MCA kepada PAS.

Track record PAS tidak pernah memusuhi mana-mana agama, kaum dan bangsa apatah lagi menindas. Sejak PAS memerintah Kelantan dan sekarang Terengganu, belum lagi PAS tindas atau anak tirikan mana-mana agama, kaum dan bangsa. Apa yang cuba musuh PAS gambarkan adalah tidak betul dan tepat kerana usahanya adalah untuk menjauhkan PAS dari rakyat dan umum.

Mungkin PAS dan MCA adalah dua parti yang berbeza pendirian dan pendapat, namun demi untuk kepentingan umum, rakyat dan negara, kemungkinan besar PAS dan MCA mungkin boleh duduk semeja dan bersetuju di atas banyak perkara kerana bagi PAS, kepentingan umum, rakyat dan negara adalah paling utama.

Mungkin di masa lalu ada sedikit salah faham dan perkhabaran yang tidak betul di antara PAS dan MCA dilontarkan yang menyebabkan kerenggangan dan permusuhan. Namun tidak semestinya tidak boleh diperbaiki dan diperbetulkan demi kepentingan umum, rakyat dan negara. PAS membuka seluas-luasnya ruang untuk MCA berbincang dan duduk semeja di atas kepentingan umum, rakyat dan negara.

Keadaan politik yang tidak stabil serta penuh dengan fitnah dan retorik memerlukan gabungan pembangkang yang kuat. Apatah lagi Kerajaan PH yang tidak efektif serta memenuhi janji manisfestonya menyebabkan rakyat mula meluat dan berpaling arah kepada pembangkang. Ia memerlukan kesatuan pembangkang yang kuat, efektif dan berkesan untuk memenangi semula hati rakyat dan PRU15.

Pembangkang yang kuat memerlukan persefahaman, kerjasama serta kepercayaan yang utuh di antara satu sama lain. Dengan Kerajaan PH yang kelam kabut umpama tikus membaiki labu, PAS percaya gabungan pembangkang yang kuat akan mendapat kepercayaan rakyat. Apa yang perlu kejujuran, ketelusan dan kerja kuat untuk dibuktikan serta di persembahkan kepada rakyat. Tidak perlu jadi populis seperti PH, cakapnya banyak tapi janji pun banyak tolak tepi. Nama saja Kerajaan tapi sebenarnya sikap masih lagi pembangkang.

PAS berpendapat jika PAS, Umno, MCA, MIC dan beberapa parti pembangkang lain dapat membentuk satu kerjasama yang erat, jitu dan kukuh, tidak mustahil Kerajaan PH yang ada sekarang akan tumbang pada PRU15 akan datang. MCA bukan DAP malah MCA lebih baik dari DAP. Usah biar rakyat jadi mangsa dan tertipu lagi.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/3/2019