PAS usaha bina kekuatan politik umat Islam

munajat

MARANG: PAS menyedari umat Islam dalam negara ini menghadapi perpecahan hingga melemahkan kuasa politiknya.

Advertisement

Justeru, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, bahawa PAS kini sedang berusaha menyatupadukan semula orang Islam di negara ini.

Menurutnya, perpecahan dan kelemahan umat ini kerana masing-masing kumpulan itu meninggalkan perjuangan Islam.

“Sekarang kita sedang mengusahakan untuk menyatukan orang Islam di negara kita ini untuk membina kekuatan semula.

“Kita telah mengalami zaman surut dan selepas surut akan ada zaman pasangnya. Pasang ini tak berlaku dengan mudah, mesti dengan usaha kita orang Islam sendiri.

“Bila orang Islam meninggalkan ajaran Islam. Mereka berpecah sesama mereka, jadi lemah dan jatuhnya Islam. Menunjukkan bahawa kita berada di zaman ini. Kalau nak balik semula kenalah menyatukan orang-orang Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Munajat dan Solat hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu, ‘Isu Fitnah Terhadap PAS’ di Masjid Rusila, malam tadi.

Menurutnya, PAS sedang berusaha menyatukan orang-orang Islam agar menjadi umat yang kuat, gagah serta dapat menguasai orang lain.

“Mengembalikan kekuasaan mereka semula dengan syarat balik kepada Islam semua. Inilah dakwah, inilah seruan kita.

“Kita menyatukan orang-orang Islam yang bermacam-macam ini. Macam-macam fahaman, ada yang ‘reti’ ada yang tak reti. Ada yang jahil, tak reti apa satu pun, kita satukan dulu.

“Kumpulkan mereka dahulu sehingga orang Islam ada kekuatan. Bila orang Islam ada kekuatan maka orang bukan Islam akan tunduk di bawah Islam,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Keputusan PRU14 lalu, katanya pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah dikuasai oleh orang bukan Islam.

“Dalam pilihan raya (PRU14) yang lalu. Kita menyaksikan bagaimana terbentuknya kerajaan (Pakatan Harapan) yang dikuasai oleh orang bukan Islam,” ujatnya di hadapan lebih 5.000 hadirin. – HARAKAHDAILY 8/3/2019