Pelik apa dengan RM90 juta – TG Abdul Hadi

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan, keraguan pihak tertentu jika PAS boleh mengumpul dana kewangannya secara halal hingga RM90 juta.

Advertisement

Ini kerana, katanya perkara itu tidak pelik sebab keahlian PAS itu kini telah mencecah lebih sejuta ahli seluruh negara.

Menurutnya, kekuatan dan pengikut PAS semakin bertambah serta mempunyai ahli parti yang ikhlas menyumbang.

“Kita telah menghadapi satu fitnah. Fitnahnya ialah kita terima duit banyak. Tak ada duit pun tak boleh, banyak duit pun tak boleh. Dia nak kita ini ‘mati kering’.

“Alhamdulillah, Allah Taala beri rezeki kepada kita. Rezeki yang halal, bukan rezeki yang haram. Kekuatan kita makin bertambah, pengikut-pengikut kita makin bertambah, ramai.

“Ahli PAS sekarang ini satu juta lebih, dan kalau RM100 seorang sudah RM100 juta. Pelik apa dengan RM90 jutanya, RM900 juta pun tidak pelik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena Munajat dan Solat Hajat Perdana Peringkat Negeri Terengganu, ‘Isu Fitnah Terhadap PAS’ di Masjid Rusila, malam tadi.

Tuan Guru menjelaskan, sumber kewangan parti adalah ikhlas dari ahli-ahli dan pendukung PAS yang ramai di seluruh negara.

“Mereka hairan mengapa kita boleh bertanding kerusi dengan begitu banyak, peduli apa itu hal kita. Ikut pandai kitalah, jadi orang susah dengan hal kita.

“Kita pandailah cari, yang penting ialah pendapatan yang halal dan sumbangan yang ikhlas daripada pengikut-pengikut kita dari pelbagai peringkat, yang percaya janji (Allah) adanya pahala menolong perjuangan Islam ini.

“Apa sahaja sumbangan kita untuk kerja Islam akan adanya pahala dari Allah Ta’ala. Ini yang kita yakin dalam diri kita,” tegasnya.

Oleh kerana, katanya fitnah terhadap PAS semakin kuat maka mengadu kepada Allah SWT jalan terbaik bagi perjuangan Islam ini. – HARAKAHDAILY 8/3/2019