Hina Nabi: Perlu hukuman lebih keras

KOTA BHARU: Kerajaan disaran menggubal undang-undang dan hukuman lebih keras ke atas mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pada masa yang sama, kerajaan perlu bertindak tegas ke atas sesiapa yang menghina agama.

Katanya, apa yang berlaku kini penghinaan terhada nabi makin berleluasa.

“Kerana itu kerajaan perlu bertindak bagi mengawal agar ianya tidak menjadi penyakit yang lebih parah,” ujarnya.

Katanya, dalam usaha membentuk sikap hormat-menghormati berteraskan nilai kesopanan dan kesusilaan, Kementerian Pendidikan juga disaran menerapkan pendidikan berteraskan prinsip hormat menghormati dalam silibus pendidikan.

Tambahnya, dengan cara itu ianya dapat memberikan pengetahuan dan pendedahan sewajarnya kepada pelajar.

“Pertamanya, tingkatkan hukuman. Dalam Islam, menghina Nabi hukuman mati.

“Tetapi di Malaysia, kita minta kerajaan letak hukuman lebih tegas,” ujarnya.

Kedua, tambah beliau aspek pendidikan perlu dimasukan ke dalam silibus supaya tiada penghinaan kepada agama lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis solat hajat dan taklimat isu-isu semasa di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, di sini malam tadi.

Majlis itu bermula dengan solat Maghrib yang diimamkan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Solat hajat diimamkan Tuan Ibrahim. – HARAKAHDAILY 9/3/2019

ptk2