Munajat dekatkan Razman dengan penduduk kampung

LENGGONG: Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria yang telah menjadikan kawasan Parlimen Bagan Serai sebagai kampung halamannya sejak lebih dua tahun lalu, pulang bermunajat di kampung asalnya malam kelmarin.

Advertisement

Adun Gunung Semanggol itu yang sesekali berkelapangan masa, telah memilih Surau Abna Zakaria untuk mengimamkan solat hajat serta bermunajat bersama orang ramai.

Beliau memilih surau yang terletak di Dataran Jambatan Sungai Perak, Kampung Luat dekat sini yang diusahakan pembinaannya dengan dana sendiri serta keluarga itu, untuk bersama dengan penduduk setempat.

Solat hajat serta munajat yang diimaminya itu disertai penduduk kampung, pimpinan, ahli, para penyokong PAS kawasan dan lebih 30 pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Lid Dakwah wal Imamah Kampung Luat yang beliau sendiri menubuhkannya.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong itu telah berkesempatan menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Kampung Paya, Luat.

Selepas munajat, Razman telah menyampaikan ceramah kepada lebih 100 hadirin dengan dipengerusikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman. – HARAKAHDAILY 9/3/2019