Tidak wajar beri peruntukan kepada SIS

KOTA BHARU: PAS meluahkan perasaan dukacita terhadap tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyalurkan peruntukan kepada Sisters In Islam (SIS).

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak sewajarnya memberi peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) itu yang menimbulkan polemik dalam kalangan umat Islam.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan untuk membantu NGO yang menjadi teras kepada Melayu dan Islam.

“Sangat tidak wajar diberi, kenapa kerajaan bagi sedangkan kita tahu SIS merupakan NGO kontroversi yang menimbulkan polemik di kalangan orang Islam.

“Kita sangat dukacita dengan tindakan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kubang Kerian di Maahad Taqadum Maarif dekat sini, pagi tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi yang mewakili Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, bukan sahaja SIS malah NGO lain yang berteraskan hak asasi manusia tidak wajar mendapat perhatian kerajaan.

“Gerakan yang bercanggah dengan polisi negara seperti hak asasi manusia termasuk Suhakam sendiri, ada tuntutan kadang-kadang perlu dinilai semula.

“Langkah ini dilakukan agar sesuai dengan suasana dan majoriti penduduk kita yang tidak menerima tuntutan orang luar terhadap negara kita,” katanya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam dilaporkan bakal memberi peruntukan sebanyak RM30,000 kepada SIS.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang berkata, jumlah itu sebahagian daripada peruntukan kementerian terbabit. – HARAKAHDAILY 9/3/2019