Ambil pendekatan berkesan tangani LGBT

KUALA LUMPUR: Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh meminta supaya kerajaan mengambil pendekatan yang berkesan dalam menangani masalah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Advertisement

Katanya, tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah mengembalikan semula golongan itu kepada fitrah semulajadi kerana mereka mempunyai kuasa.

“Mereka (kerajaan) tidak boleh dibiarkan kerana benda ini adalah negatif dalam masyarakat yang tidak membawa kebaikan,” katanya ketika ditemui di Seminar Perpaduan National di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan berkaitan tindakan yang perlu diambil kerajaan terhadap perhimpunan haram golongan LGBT yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zawawi berkata manusia perlu kembali kepada asal kejadian yang dicipta oleh Allah ada lelaki dan perempuan serta mempunyai batas sempadan yang ditetapkan oleh agama.

“Isu golongan LGBT ini, manusia cuba untuk mengubah fitrah semula jadi.

“Kita (PAS) mengharapkan pihak kerajaan supaya ambil pendekatan yang boleh membentuk semula manusia yang terpesong kemanusiaaannya kerana golongan ini telah lari daripada fitrah asalnya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh. – HARAKAHDAILY 10/3/2019