Betulkah cara usrah kita jalankan selama ini?

TANYALAH di mana-mana cawangan, kawasan mahupun negeri, risiklah dengan mana-mana peringkat sekalipun dalam PAS, pasti menperakui bahawa tarbiyah mesti menjadi agenda terpenting di dalam merangka misi masing-masing. Rasanya tidak ada anggota PAS yang menolak tagline “Tarbiah Tunjang Perjuangan”. Tanpa tunjang, lumpuh perjuangan.

Advertisement

Tarbiyah pula mesti tidak dapat dipisahkan daripada usrah. Sebagaimana yang difahami, usrah adalah adalah nadi tarbiyah. Tanpa nadi, mati.

Namun satu persoalan yang ingin dikongsikan bersama, apakah benar pendekatan usrah yang kita amalkan menepati konsep usrah sebenar yang ditunjukkan dalam sirah Nabi S.A.W, dan juga yang diperkenalkan oleh bapa haraki kita, As-Syahid Imam Hasan al-Banna?

Usrah pemangkin ukhuwwah

●     Perspektif taarif usrah

Jika dinilai dari sudut rukun usrah iaitu Taaruf, Tafaahum dan Takaful, ia sebenarnya lebih kepada konsep ukhuwwah. Tetapi apa yang diamalkan oleh kita pada hari ini lebih kepada pemantapan fikrah.

Tidak dinafikan, fikrah merupakan agenda tarbiyah paling penting yang perlu diutamakan. Namun menjadikan usrah sebagai platform pembentukan fikrah sedikit sebanyak telah merencatkan konsep asal ukhuwwah yang terdiri di atas rukun-rukun yang telah digariskan. Penekanan terhadap ukhuwwah menjadi terabai dan lama-kelamaan, masalah ukhuwwah menebal lalu menjadi duri dalam daging.

●      Usrah bermaksud keluarga

Mengikut ilmu usrah yang saya pelajari, usrah adalah unit kecil kepada organisasi jemaah Islam yang besar. Sesuai dengan namanya, ia mesti berorientasikan kekeluargaan.

Tetapi yang berlaku hari ini, usrah sekadar menjadi platform pengisian fikrah dan penjelasan kekeliruan isu-isu semasa sahaja. Ia tidak berperanan menjadi penghubung hati-hati ahli usrah dan penyelesai masalah yang berlaku di kalangan ahli usrah. Tiada perasaan adik beradik sesama ahli usrah yang bersifat bantu membantu, jauh sekali perasaan ibubapa terhadap nuqaba’ sebagai tempat berpayung kasih dan mengadu lara.

●      Usrah tidak tertakluk kepada posisi

Usrah yang berkesan sepatutnya dikekalkan keanggotaannya tanpa mengambil kira posisi dan jawatan mereka di dalam jemaah. Pemimpin jemaah tidak kisah bernaqibkan pengikut sendiri. Agamawan tidak kisah berada di bawah naqib profesion berbeza.

Tetapi hari ini usrah adalah mengikut posisi. Usrah cawangan melibatkan ahli peringkat cawangan sahaja. Sekiranya ada ahli tersebut meninggalkan cawangan kerana terpaksa memberi komitmen di peringkat yang lebih tinggi, mereka terus meninggalkan usrah tersebut dan menyertai usrah baru pula atas alasan sudah naik martabat.

Apabila ada bergelar ustaz di kalangan anggota, pasti akan diutamakan untuk menjadi naqib walaupun terdapat mereka yang lebih baik dan prihatin dalam menguruskan anak buah.

●      Bilangan anggota usrah

Usrah yang efektif juga sebaiknya terdiri daripada bilangan anggota 10 orang sahaja maksimum. Idealnya 7. Tetapi yang berlaku, usrah peringkat cawangan sahaja sehingga 20-30 orang. Belum lagi dikira di peringkat zon, Dun, kawasan. Sampai penuh dewan hanya untuk 1 usrah!

Puncanya kerana menjadikan usrah umpama medan kuliah, hingga partisipasi anggota dalam bilangan tersebut menjadi terhad. Ia juga akan memakan masa yang lama, dengan persiapan yang begitu teliti, mengakibatkan usrah menjadi rumit.

●      Pengisian usrah

Usrah sepatutnya tidak hanya dalam bentuk bulatan perbincangan semata-mata. Ia boleh dipelbagaikan asalkan rukun usrah tercapai. Ini termasuklah pendekatan riadhah seperti bermain bola, jogging bersama, hiking, ataupun aktiviti rekreasi seperti berkelah, jamuan kecil, bermusafir. Dan sebagainya. Lepak di kedai mamak juga boleh dikira sebagai usrah, jika kena caranya!

Tetapi apabila difahami usrah sebagai medan pembinaan fikrah, maka akan bercanggahlah dengan aktiviti seperti riadhah dan rekreasi.

Dengan meringankan konsep usrah, tentunya ia akan memberi kesan kepada kekerapan usrah itu dijalankan. Mungkin seminggu boleh diadakan sampai tiga kali! Contohnya dalam seminggu diadakan futsal, mengeteh dan iftar jamaie secara potluck. Aktiviti usrah tidak ada beza dengan rutin harian, menyebabkan anggota mudah untuk memberi komitmen.

●      Teks usrah?

Usrah sepatutnya berobjektif membuatkan anggota saling mengenali antara satu sama lain (taaruf), kemudian memahami antara satu sama lain (tafaahum), dan akhirnya membawa kepada bertolong menolong antara satu sama lain (taawun). Seperti yang dijelaskan di atas, orientasi utamanya adalah ukhuwwah.

Tetapi apabila usrah mewajibkan penghadaman teks-teks dengan tajuk tertentu, menyebabkan berlaku hari ini anggota usrah tidak kenal pun antara satu sama lain. Bertaaruf sekadar memenuhi syarat sahaja. Itupun sekali sahaja sepanjang siri-siri usrah.

Akibatnya, walaupun usrah setiap minggu tapi salah faham, tuduh menuduh, dengki dan prasangka sesama ahli masih tidak dapat diselesaikan.

Antara naqib dan murabbi

Antara punca usrah tidak hidup adalah kerana ketiadaan naqib yang berwibawa untuk mengendalikan usrah. Bagi saya, ia sebenarnya berpunca dari kekeliruan memahami peranan naqib yang sebenar.

●      Naqib adalah kapten

Naqib maksudnya nakhoda atau kapten. Tugasnya menjaga usrah dan ahlinya agar menjadi keluarga yang harmoni. Sama seperti konsep ibubapa bagi sebuah keluarga. Bukan tugas utama naqib untuk menyelesaikan masalah fikrah. Mereka cuma perlu memikirkan bagaimanakah pengisian usrah yang ingin dijalankan agar ikatan kekeluargaan usrah itu sentiasa kukuh.

Jika memerlukan pengisian berbentuk fikrah, naqib akan mencari tenaga pengisi bagi usrah mereka. Tidak semestinya naqib yang perlu berhempas pulas menghadamnya dahulu sebelum disampaikan kepada anggota.

●      Naqib bukan murabbi

Perlu dibezakan peranan sebagai naqib dan sebagai murabbi. Tugas pembentukan syakhsiah ahli yang melibatkan fikrah, roh dan jasad adalah peranan murabbi. Tetapi ramai yang menganggap tugas murabbi itulah tugas naqib.

Hal inilah yang membawa kegagalan fungsi usrah di banyak peringkat. Dengan requirement yang begitu tinggi diletakkan sebagai naqib, ramai yang tidak sanggup menjadi naqib.

Murabbi adalah isim fa’il bagi rabba, yang menjadi kata pokok kepada tarbiyah. Bermaksud orang yang mentarbiyah. Sesuai dengan namanya, murabbilah yang bertanggungjawab membentuk fikrah ahli.

Tidak semestinya setiap usrah perlu seorang murabbi. Boleh sahaja seorang murabbi memegang sehingga 5-6 unit usrah sekali gus. Murabbi juga tidak diwajibkan menyertai setiap program usrah. Sekali sebulan sudah cukup asalkan nuqaba’ sentiasa berkomunikasi dengan murabbi.

      Nuqaba zaman Rasulullah S.A.W

Lihat bagaimana Nabi S.A.W melantik 12 nuqaba di kalangan orang Ansar sejurus Baiah Aqabah dimeterai. Kalangan mereka adalah yang baru memeluk Islam (muallaf), sebagaimana anak buah mereka yang lain. Sudah tentu kefahaman Islam mereka masih belum mampu untuk berperanan sebagai nuqaba’ yang boleh menyampaikan fikrah sebagaimana yang kita fahami hari ini. Menunjukkan bahawa konsep sebenar nuqaba’ adalah sebagai bapa sahaja, bukan guru.

Walau bagaimanapun, Rasulullah turut menyedari kepentingan orang yang faham Islam bersama dengan kumpulan mereka di Madinah. Kerana itulah Rasulullah S.A.W menugaskan Mus’ab bin Umair, pergi ke Madinah sebelum wahyu penghijrahan turun. Peranan Mus’ab adalah sebagai murabbi kepada kumpulan-kumpulan usrah yang dibentuk pasca Baiah Aqabah.

   Naqib tidak boleh bertukar-tukar

Mengikut kaedah yang Nabi S.A.W anjurkan di atas, Naqib tidak sepatutnya bertukar-tukar. Namun disebabkan kekurangan tenaga pengisi, naqib yang ada terpaksa bergilir-gilir mengisi usrah-usrah yang semakin banyak. Kekerapan usrah juga menjadi terencat kerana bergantung kepada kelapangan naqib.

Naqib sepatutnya mengenali dengan baik hati budi anggota usrah. Namun kerana mengendalikan usrah secara jemputan atau giliran yang jarang sahaja, perkara tersebut tidak berlaku.

      Naqib kampus

Di peringkat kampus pula lebih-lebih lagi di fakulti yang bukan pengajian Islam, seringkali berlaku senior-senior yang dilantik menjadi naqib menyampaikan pengisian fikrah melalui usrah dalam keadaan mereka tidak mampu melakukannya. Contohnya menghuraikan ayat-ayat al-Quran mengikut kefahaman akal sendiri yang tidak didasari dengan ilmu-ilmu asas agama.

Perkara ini sudah tentu boleh membawa penyelewengan. Terjemahan al-Quran teks pengisian yang disediakan tidak mampu menjelaskan secara terperinci berkait hal ehwal agama tanpa bimbingan guru atau murabbi. Tetapi oleh kerana menganggap naqib mesti menerapkan fikrah kepada anggota usrah, itulah yang terjadi.

Pengisian usrah di luar sesi usrah

Pasti timbul pula persoalan, jika usrah dikembalikan kepada konsep sebenar iaitu ukhuwwah, maka bagaimanakah pula dengan agenda pembinaan fikrah?

     Kuliah Haraki atau Liqa Fikr

Jawapannya, perlu diperkasakan platform lain bagi menggantikan pengisian usrah yang selama ini kita amalkan. Contohnya wujudkan kuliah haraki atau Liqa Fikr berkala menggunakan syllabus atau muqarrar yang telah digariskan.

Kuliah dan Liqa Fikr tidak terikat dengan kekerapan yang tinggi seperti usrah. Ia juga tidak terhad kepada bilangan peserta tertentu, boleh diadakan mengikut tingkatan posisi, dan boleh bertukar penyampai.

      Optimumkan pengisian fikrah

Jika program-program usrah boleh diadakan secara kerap, program-program penghadaman syllabus melalui teks pula boleh dikurangkan kepada sebulan sekali atau dua kali. Kerana di saat pertemuan-pertemuan usrah berlaku, sedikit sebanyak masalah fikrah boleh ditangani walaupun pada kadar minima.

Di sinilah peranan murabbi diperlukan. Bukan lagi naqib. Murabbi akan mengendalikan sesi kuliah dan liqa’ ini kepada beberapa unit usrah sekali gus. Naqib akan menjadi sebahagian daripada peserta. Tidak perlu malu untuk bertanya di hadapan anggota usrah yang lain, kerana memang mereka sama-sama bukan ahli tarbiyah.

    Hakikat sambutan program tarbiyah

Mungkin ramai berpendapat lontaran ini terlalu idealistik kerana kita telah mengamalkan konsep usrah yang berbeza sudah sekian lama. Tapi sedarkah kita jika kembali kepada teori usrah sebenar, kita sudah tersimpang? Sedarkah juga, daripada hampir sejuta ahli PAS, yang memberi komitmen kepada usrah hanyalah 30 peratus sahaja? Di bawah paras lulus!

Di peringkat cawangan sebagai contoh. Ahli berdaftar adalah 50 orang. Tetapi yang menghadiri usrah selalunya kurang 10 orang.

Tidakkah ini berpunca kepada pengisian usrah yang dianggap terlalu berat dalam keadaan mereka belum pun menganggap jemaah ini sebagai sebuah usrah (keluarga)? Hati mereka perlu disentuh melalui konsep ukhuwwah yang sebenar, kerana hati adalah kunci untuk membuka akal.

      Mat rempit lebih menghayati usrah

Sebaliknya, kita melihat kadang-kadang orang yang tak pernah kenal usrah pula lebih hebat penghayatan ‘usrah’ dari sudut tautan hati antara mereka. Geng-geng mat rempit, rakan sepermainan, kumpulan-kumpulan tertentu lebih mengenali antara satu sama lain, memahami, saling membantu malahan ada yang sanggup berkorban demi rakan yang lain.

Ini kerana mereka melakukan segala aktiviti usrah bersama seperti lepak, musafir, riadhah, rekreasi, makan-makan dan bermacam lagi. Semua itu telah mempertautkan hati tanpa sedar.

●      Di mana ukhuwwah terbentuk?

Percaya atau tidak, ukhuwwah yang terbina di kalangan ahli jemaah hari ini tidak terbentuk melalui bulatan usrah. Tetapi mungkin kerana aktiviti selepas usrah. Biasanya usai usrah, ada makan-makan. Itulah masa mereka bersembang dan profesional sedikit demi sedikit. Tetapi ia berlaku spontan dan tidak sistematik.

Boleh jadi juga ketika menunaikan tugasan bersama. Terlibat menjayakan program yang sama, menyebabkan terpaksa bermusafir dan bermalam di tempat sama. Ia adalah perkara yang positif. Walau bagaimanapun, ia tidak berlaku dalam proses usrah dijalankan.

Realignment usrah

Berikut merupakan kesimpulan, cadangan dan harapan daripada perbincangan di atas.

      Peta minda

Sebagai rumusan, tarbiyah boleh dipecahkan kepada tiga elemen syakhsiyyah iaitu fikriyyah, ruhiyah dan jasadiyyah. Usrah berada di bawah elemen ruhiyyah iaitu elemen pengurusan hati dan perasaan.

     Usrah bukan program

Usrah adalah kata nama bagi kumpulan kecil dalam jemaah yang terkeluar dari hierarki jawatan. Ia bukan nama bagi program. Tetapi di dalam kumpulan usrah, boleh diadakan berbagai program. Tidak menjadi masalah untuk mengadakan program fikrah tetapi ia bukan orientasi utama usrah.

      Fikrah tetap no.1

Walau bagaimanapun, perlu dipertegaskan bahawa elemen paling penting dalam pembentukan syakhsiyyah Islamiah masih lagi elemen fikriyyah, kerana ia melibatkan iman yang menjadi paksi aqidah perjuangan. Mungkin di lain tulisan isu fikrah ini akan diperhalusi lagi.

     Solusi masalah jentera

Saya optimis sekiranya konsep dan pendekatan usrah kembali diperbaiki, agenda pemantapan tarbiyah akan berjalan dengan lebih sukses melalui: 

i-     Ikatan wala’ yang menjadi intipati utama tarbiyah akan menjadi lebih jitu kerana konsep kekeluargaan akan membentuk kesetiaan,

ii-     Komitmen anggota kepada gerak kerja jemaah akan dapat dioptimumkan kerana usrah yang sebenar akan membuah rasa

a)    Kepunyaan (sense of belonging), sama sebagaimana sebuah keluarga dan

b)     Melahirkan kebersamaan ibarat sebuah bangunan yang kukuh.

3 Rejab 1440
9 Mac 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 10/3/2019