Hasutan LGE risiko gugat ketenteraman awam

LUMUT: Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut dan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Lumut telah membuat laporan polis ke atas kenyataan berbaur hasutan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Advertisement

Laporan tersebut masing-masing dikemukakan Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan Ketua Wanita Lumut, Sabariah Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, di sini petang tadi.

Mereka dalam laporan tersebut menggesa agar siasatan dan tindakan tegas di bawah Akta Hasutan dapat dilakukan terhadap Guan Eng kerana jelas kenyataannya berbaur hasutan.

Menurut Rohawati, perkara disuarakan Menteri Kewangan tersebut cuba membangkitkan emosi perkauman khususnya kepada rasa prejudis dan melampau terhadap sebahagian rakyat yang lain.

Guan Eng katanya, menimbulkan rasa gugatan dan ancaman kepada satu pihak dengan menuduh pihak lain mahu bertindak radikal dengan mendakwa ianya sebagai pengisytiharan perang.

Tegas beliau, kenyataan melampau itu boleh merosakkan keharmonian hidup antara rakyat pelbagai kaum, malah berisiko mengundang ancaman dan gugatan kepada ketenteraman awam.

Rohawati dan Sabariah telah diiringi kira-kira 30 Muslimat PAS dan Wanita Umno ketika laporan dibuat di mana turut hadir adalah Setiausaha PAS Kawasan Lumut, Hamidun Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid. – HARAKAHDAILY 10/3/2019

IMG 20190310 WA0077

IMG 20190310 WA0078