‘Kita baru bekerjasama di peringkat PRK’

KUALA LUMPUR: PAS belum lagi membuat sebarang keputusan berhubung cadangan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan untuk mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir oleh PAS dan BN.

Advertisement

Naib Presidennya, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, setakat ini kerjasama PAS dan Umno lebih tertumpu kepada dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

“Perkara ini terlalu awal, jauh lagi kita tidak bincang lagi. Kita baru bekerjasama di peringkat pilihan raya kecil dan belum lagi bincang ke arah itu.

“Setakat fokus kita hanya kepada kemenangan di (PRK) Rantau,” katanya kepada pemberita selepas selesai Seminar Perpaduan Nasional di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Menurut Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, kenyataan pemangku Presiden Umno itu bukan satu kesalahan.

“Bila dia (Mohamad) cadang mewujudkan kerajaan campuran antara PAS dan Umno, kita dalam Majlis Syura Ulamak telah membincangkan dan memutuskan bahawa mana-mana kerjasama dengan parti politik yang lain, selagi tidak menggugat dasar yang diperjuangkan oleh PAS adalah diterima oleh PAS,” katanya yang turut hadir pada seminar tersebut.

Sebelum ini, Mohamad mencadangkan untuk mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir oleh PAS dan BN ketika ini.

Walau bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat cadangan dan perbincangan lanjut akan diadakan. – HARAKAHDAILY 10/3/2019