Laungan LGBT

shahir3

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia amat prihatin dengan situasi hari ini di mana bibit-bibit sekularisma dan liberalisma makin mendapat tempat di negara kita, di mana agama rasminya adalah Islam.

Advertisement

Terbaru, satu perhimpunan diadakan di Kuala Lumpur semperna Hari Wanita Sedunia, namun laungan “Hidup LGBT” bergema. Isu ini tidak boleh dipandang kecil.

Pertama, tidak perlu sebenarnya perhimpunan sebegitu diadakan, di mana wanita di Malaysia tidak ditindas. Jika diteliti, dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan sebenarnya mengangkat golongan wanita itu sendiri.

Sebagai contoh, kerajaan menyarankan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada Ahli Lembaga Pengarah di sesuatu agensi, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta, harus dianggotai oleh wanita.

Kita juga lihat bagaimana kebanyakan CEO syarikat di Malaysia dan usahawan muda berjaya adalah daripada golongan wanita. Adakah wanita ditindas di Malaysia?

Kedua, tidak perlu sebenarnya perhimpunan sebegitu diadakan, jika mereka faham peranan wanita itu sendiri. Mereka seharusnya sedar bahawa golongan lelaki dan golongan wanita dijadikan oleh Tuhan dengan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Itu fakta.

Sebagai contoh, lelaki mempunyai kekuatan fizikal yang lebih berbanding wanita. Wanita pula mempunyai kelebihan kekuatan emosi yang lebih berbanding lelaki.

Jika mereka faham peranan wanita itu sendiri, mereka tidak akan terpekik-pekik memperjuangkan kesaksamaan antara gender, yang sememangnya tidak akan sama. Lelaki dan perempuan adalah berlainan. Seharusnya, kelebihan dan kekurangan kedua-dua belah pihak menjadi pelengkap kepada kehidupan.

Ketiga, laungan LGBT pada perhimpunan tersebut merupakan petanda bahawa golongan liberal mula mendapat tempat di Malaysia. Adakah memperjuangkan kesaksamaan gender itu sebagai pencetus kepada idealisma bahawa lelaki itu sama seperti perempuan, maka hubungan sejenis, seperti gay dan lesbian, perlu diiktiraf?

Pada masa yang sama, Menteri Agama, YB Mujahid masih tidak tegas dalam mengambil tindakan dan pelan pencegahan idealisma liberal sebegini. Rahmatan lil alamin mempunyai batasannya, rahmat Allah tidak akan turun kepada kaum yang ingkar kepada Allah, tetapi yang ditakuti adalah bala pula akan menimpa kita, seperti mana yang tercatat di dalam Al-Quran berkenaan kisah kaum Luth.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia bertegas bahawa perhimpunan yang berlangsung tempoh hari tidak patut diadakan. LGBT bukan sahaja ditolak oleh agama Islam, malah kesemua agama termasuklah Kristian dan sebagainya. Kesucian perkahwinan adalah antara lelaki dan perempuan. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menuntut tindakan tegas diambil kepada pihak penganjur program perhimpunan tersebut.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
10 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 10/3/2019