PAS-Umno di Ipoh Timur mula jalin hubungan

IPOH TIMUR: Semarak hubungan persaudaraan kian terikat meluas antara PAS dan Umno di mana saling mengundang serta memenuhi jemputan majlis antara satu sama lain.

Advertisement

Menurut Setiausaha PAS Cawangan Kampung Sri Kinta, Ahmad Shahril Jalaludin, pihaknya amat berbesar hati dan berasa dihargai dengan jemputan Umno Cawangan ke Mesyuarat Agung Umno pada semalam dan hari ini.

Katanya, jemputan seumpama turut diterima pihak PAS Cawangan Taman SPPK dan bagi beliau hal seperti itu melakar sejarah hubungan kedua parti tersebut khusus dalam Parlimen Ipoh Timur.

“Ini menunjukkan PAS dan Umno sudah tidak mempunyai masalah di peringkat akar umbi. Namun kebersamaan atas nama Islam dan Melayu, kita berasa berterima kasih atas jemputan ini.

“Ketika sama kita hulurkan jemputan untuk pimpinan tertinggi Umno Bahagian bagi menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Ipoh Timur pada 17 Mac depan,” pelawanya.

Hal tersebut dinyatakan beliau selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Kampung Sri Kinta, di sini hari ini.

Beliau melahirkan harapan agar hal tersebut menjadi titik permulaan baik ke arah proses pemantapan agenda penyatuan ummah khususnya antara PAS dan Umno. – HARAKAHDAILY 10/3/2019

IMG 20190310 WA0062