Salahkah Presiden PAS berjumpa PM?

BANYAK pihak yang mempertikaikan tindakan Presiden PAS, Setiausaha Agung PAS dan Menteri Besar Terengganu berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat beliau pada 15 Februari 2019 bagi merundingkan beberapa perkara membabitkan urusan Kerajaan Negeri di bawah PAS di samping menyatakan sokongan kepada beliau.

Advertisement

Bagi saya tiada salahnya perjumpaan itu diadakan, malah, berdasarkan kepada rekod-rekod PAS, itulah yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PAS sebelum ini yang melambangkan keterbukaan PAS dalam berpolitik.

Beberapa contoh yang boleh diberikan berhubung dengan perkara ini adalah:

(1)     Walaupun PAS ketika itu berseteru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Haji Yusof Rawa dan Datuk Fadzil Mohd Noor tetap berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman rasmi beliau pada 9 April 1986 bagi membincangkan soal perpaduan ummah.

(2)     Walaupun PAS ketika itu berseteru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di bawah pimpinan Haji Yusof Rawa tetap bersetuju melangsungkan muzakarah dengan Umno dan mengumumkannya dalam ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 pada 11 April 1987.

(3)     Walaupun PAS ketika itu berseteru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan tetap berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat beliau pada 9 Ogos 1991 bagi membincangkan 16 perkara membabitkan kepentingan negeri itu.

(4)     Walaupun PAS ketika itu berseteru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap menyatakan sokongan kepada beliau di samping meminta semua ahli dan penyokong PAS memberikan sokongan kepada beliau ketika beliau sedang menghadapi tekanan dari 34 Ahli Kongres Amerika Syarikat supaya beliau meletakkan jawatan pada bulan November 1997. 

(5)     Walaupun PAS ketika itu berseteru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan walaupun rakan kongsi PAS dalam BA, iaitu PKR, tidak bersetuju dengannya, tetapi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di bawah pimpinan Datuk Fadzil Mohd Noor tetap bersetuju melangsungkan muzakarah dengan Umno pada bulan Februari 2001 jika Umno dapat mengembalikan bayaran royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan jika Umno dapat mengembalikan kebenaran menerbitkan akhbar Harakah sebanyak 8 kali sebulan.

Malah ramai yang tidak tahu bahawa, walaupun PAS ketika itu berseteru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi disebabkan masalah yang dihadapi olehnya untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Kelantan selepas perpecahannya dengan S46, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di bawah pimpinan Datuk Fadzil Mohd Noor pada 17 November 1996 telah pernah bersetuju menerima idea membentuk Kerajaan Campuran PAS-BN di Kelantan dengan mandat utamanya kepada jawatankuasa perunding adalah:

(1)     Ia bukanlah penyertaan dalam Barisan Nasional.

(2)     Konsep Kerajaan Campuran hendaklah dirujukkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Apa sangatlah kalau setakat Presiden PAS, Setiausaha Agung PAS dan Menteri Besar Terengganu berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. – HARAKAHDAILY 10/3/2019