Semua anggota jamaah ada peranan

REMBAU: Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau (DMPKR) kali ke-15 telah berlangsung dalam suasana meriah walaupun adanya linangan air mata tatkala sesi penggulungan di Senawang, kelmarin.

Advertisement

Ketua DMPKR yang dilantik semula, Masita Mohamed Ali menyampaikan ucapan penggulungan dalam keadaan sebak hingga mengalirkan air mata kerana mesyuarat telah berjaya diadakan dan berlangsung dalam suasana meriah dan penuh kasih sayang.

Semua hadirin juga turut mengalirkan air mata terharu dengan ucapan yang disampaikan itu.

Masita juga merayu agar semua muslimat dapat bekerjasama dengan beliau dalam melaksanakan amanah yang telah diberi kerana semua anggota jamaah mempunyai peranan masing-masing.

Beliau mengumpamakan DMPKR sebagai sebuah rumah dan semuanya ada peranan masing-masing, hatta hanya sebagai sebatang paku.

Suasana kemeriahan dan kerjasama tergambar apabila muslimat yang hadir diberi sedikit penghargaan dalam acara cabutan bertuah yang mana hadiah-hadiah tersebut adalah sumbangan daripada AJK DMPKR sendiri.

Mesyuarat DMPKR kali ini telah dihadiri oleh 60 orang ahli yang terdiri daripada AJK DMPKR, perwakilan cawangan-cawangan, beberapa orang pemerhati di kalangan anak muda.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Khairil Anuar Wafa yang merasmikan mesyuarat tersebut telah memberi pengiktirafan kepada muslimat PAS kerana komitmen besar yang telah diberi dalam setiap gerak kerja yang dilaksanakan.

Beliau juga menyarankan muslimat agar pandai memberikan masa dengan kerja-kerja jamaah tanpa mengenepikan tanggungjawab utama sebagai sebagai seorang isteri dan ibu dalam keluarga.

Katanya lagi, wanita Umno juga perlu dicontohi muslimat terutama penglibatan mereka dalam masyarakat seperti kumpulan Yaasin, kumpulan berzanji, kelas masak memasak dan sebagainya kerana aktiviti tersebut mampu membina hubungan baik dengan masyarakat luar.

Kehadiran wakil Ahli Jawatankuasa Pemantau Negeri Sembilan, Nur Solehah Mohd Nasir dan pemerhati daripada AJK Muslimat negeri, Norlela Zainuddin adalah bagi memenuhi syarat mesyuarat agung manakala Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Kawasan Rembau diwakili oleh Hassan Din Ibrahim. – HARAKAHDAILY 10/3/2019

rem2