Tuduhan Nga ulangi fitnah jahat terhadap PAS

KUALA KANGSAR: Tuduhan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming melabel kerjasama PAS-Umno sebagai Taliban hanya mengulangi fitnah lama yang ditujukan terhadap PAS.

Advertisement

Ulasan itu dinyatakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar Kali Ke-31 di Safari Resort, di sini semalam.

“PAS telah membuktikan semenjak berpuluh tahun pemerintahannya (di Kelantan), bahawa tidak pernah dalam pemerintahan PAS ni, PAS menampilkan suatu pemerintahan yang keras (atau) menindas.

“Kalaulah PAS melakukan penindasan dalam pemerintahannya di Kelantan, sudah pasti Kelantan tidak akan jadi negeri contoh yang menyebabkan negeri-negeri lain bangkit (untuk menukar kerajaan) dalam tahun-tahun kebelakangan ini,” ujar Ahli Parlimen Bachok itu.

Menurut beliau, fitnah itu adalah manifestasi ketakutan pihak terbabit terhadap kerjasama PAS-Umno yang merupakan sejarah baru dalam politik Malaysia.

Disoal media mengenai tindakan pemimpin PAN mempertahankan kenyataan Kor Ming itu, beliau menyebut bahawa tindakan itu menunjukkan pendirian PAS terhadap PAN selama ini adalah benar.

“Dia (PAN) pertahan tu, maka benarlah apa yang kita kata. Bahawa PAN ini tidak lebih daripada (sebuah) kelahiran (yang) dilahirkan oleh DAP. Kerjanya adalah tukang syarah. Apa yang orang Islam tak faham mengenai DAP, dia tukang syarah,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 10/3/2019 

IMG 20190310 WA0056

IMG 20190310 WA0057

IMG 20190310 WA0058