Hari Wanita: Muslimat rai wanita rumah panjang

BINTULU: Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Negeri Sarawak telah mengadakan Sambutan Hari Wanita Sedunia yang dirai 8 Mac setiap tahun menerusi program ziarah khas ke beberapa rumah panjang, di sini semalam.

Advertisement

Kunjungan mesra delegasi Muslimat itu turut mengedarkan risalah bersama hadiah kek kepada setiap wanita ditemui sebagai tanda penghargaan atas segala jasa yang telah dicurahkan.

Menurut Pengerusi LPN Muslimat PAS Sarawak, Rohaya Ramli, setiap wanita layak diberi penghargaan daripada masyarakat sekeliling atas penat jerih mereka terutamanya membangunkan institusi keluarga dan negara.

Ujarnya, melalui Sambutan Hari Wanita ini, pihak beliau mengambil peluang untuk memberi sokongan kepada mereka agar terus menjadi wanita hebat seperti Saidatina Fatimah R.A.

“Anakanda kesayangan Rasulullah ini pernah mengeluh penat menguruskan rumah tangga sehingga diminta seorang pembantu olehnya. Namun, Rasulullah ‘menghadiahkan’ kalimah zikir untuk diamalkan.

“Dengan mengingati Allah, pasti segala urusan akan dipermudahkan. Sejak itu, Saidatina Fatimah mengamalkan zikir tersebut setiap kali melakukan tugasan rumahtangga,” tambah Rohaya.

Rata-rata wanita disantuni delegasi adalah terdiri daripada kaum Iban namun menerima baik kunjungan tersebut dan berasa terharu dengan kedatangan Muslimat PAS ke teratak mereka. – HARAKAHDAILY 11/3/2019