Ada dia, bagaikan ada semuanya…

GUNUNG Rinjani di belakang lambaian itu, sasa dan teguh menjulang tinggi, memasak bumi kepulauan Lombok. Demikian jasa dan pengorbananmu wahai sahabatku Ustaz Norazli Musa kepada kami yang diwariskan perjuangan ini.

Advertisement

Tutur bicara keras, serius, panas, kemudian derai ketawa gurau sendamu, mengusik, berlucu, humble, bersahaja, ringan tulang. Itulah watakmu sahabatku.

Keras garau suaramu, garang wajahmu, membulat bola matamu, menangis hingga membasahi janggut juga semudah menghambur ketawa. Dalam hatimu ada taman berbunga juga.

Tidak segan silu mengaku kesilapan dan memohon maaf, walaupun tidak ada salahnya. Segera mendail memanggil lewat telefon bila agak lama kita terasing tak bersua. “Hang lupa kat aku dah ka Nusii???

Waktu sama-sama berkelana di pentas dunia tanpa kerja, pantang dia berduit, segeralah dia bertanya, “Hang ada duit belanja dak Nusi?” Aku ada sikit kalau hang mau. Kita kan sama-sama susah, tentula aku teringat kat hang. Mai la nombor akaun hang tu.

Tidak pernah menolak bila diajak ke mana-mana pun, melaksanakan kerja amal, sehingga dilarang sahabat-sahabat lain gara-gara kesihatannya yang merosot. “Depa mesyuarat GU semalam, depa buat keputusan tak bagi aku pi. Tapi takpa. Aku cari duit bagi hang bawak pi. Nanti aku bagitau bila dah dapat.”

Ke sana ke mari dengan bas, menumpang di tangga saja dari Pudu atau Jalan Duta ke Ipoh. “Dreba-dreba bas tu kenai aku dah. Naik free ja dok tang tangga.

Ada ketika dengan kereta api, ETS, sedaya upaya cuba sampai ke mesyuarat atau program; melontar pandangan atau menerima beban kerja.

Tenang tersenyum melurut janggutnya, memandang penuh yakin dan percaya kepada sahabat seadanya. Adanya dia, bagaikan ada semuanya.

Pergimu di bumi Madinah yang bertuah, dalam perjalanan kembara suci mulia, jiwa merdeka yang bersih, di malam yang jernih; meninggalkan jasa dan kenangan yang melata sepanjang jalan. Air mata siapa yang tidak gugur mengenangkan mu?

Berehatlah sahabat dan guru kami Ustaz Norazli Musa.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah PASRelief – HARAKAHDAILY 12/3/2019