Kenapa DAP takut kerjasama PAS-Umno?

KUALA LUMPUR: Kerjasama PAS-Umno yang mula terbina hari ini dilihat mampu menjadi faktor penyatuan ummah, dalam masa yang sama amat ditakuti DAP dan sekutu Pakatan Harapan (PH).

Advertisement

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya menyambut baik serta mengalukan kerjasama perpaduan yang dimenterai antara PAS-Umno sepertimana telah diumumkan oleh kedua-dua pimpinan parti itu.

Menurut beliau, perpaduan ini sangat penting bagi mencapai hasrat menyatukan seluruh umat Islam terutama demi menjamin kemaslahatan agama Islam dan kepentingan orang Melayu itu sendiri.

“Perpaduan ini merupakan satu unsur yang sangat baik bagi mencapai keharmonian dan kemakmuran dalam negara.

“Sebagai sebuah negara demokrasi sudah tentu keharmonian majoriti akan tentukan sejauh mana kemakmuran negara ini,” katanya dalam sidang media pimpinan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di ibu negara, sebentar tadi.

Aminuddin turut menempelak pihak yang menyatakan bahawa perpaduan itu akan menyebabkan negara menjadi sebuah negara Malaysia seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Malah, katanya kenyataan menyifatkan kerjasama ini sebagai ‘pengisytiharan perang’ adalah satu kenyataan yang tidak betul.

Baginya, tidak seharusnya kenyataan sedemikian dinyatakan oleh pemimpin dalam negara ini.

Perkara tersebut baginya amat tersasar daripada realiti sebenar negara ini.

Katanya lagi, sudah tentu kenyataan songsang yang dibuat daripada pimpinan DAP khususnya adalah meleset.

Sehubungan itu, UMMAH menolak kenyataan songsang DAP yang dilihat hanya untuk mengaut keuntungan politik.

Kata beliau lagi, jika kenyataan sedemikian tidak dibendung akan menyebabkan satu ketengangan kaum yang akan berlaku di dalam negara.

“Kita tak nampak bagaimana kerjasama perpaduan ini akan menimbulkan kacau bilau antara kaum lain.

“Sedangkan Islam tidak pernah mengajar sedemikian,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar perpaduan tersebut perlu berlandaskan kepada Islam dan nilai murni yang diajar oleh Islam.

Hal ini, tambahnya amat penting agar penyatuan ini tidak dicemari oleh kepentingan peribadi atau individu yang mempunyai niat tertentu hanya untun ‘survival politik’ semata-mata. – HARAKAHDAILY 12/3/2019