Jawatankuasa khas nilai persembahan makyong

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menubuh jawatankuasa khas bagi meneliti persembahan makyong yang pernah diharamkan sebelum ini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abd Rahman berkata, jawatankuasa itu dibentuk bagi mengenal pasti pertunjukkan itu sejauh mana mematuhi elemen patuh syariah.

Katanya jawatankuasa khas terbabit akan menilai persembahan itu sama ada selari dengan kehendak syariah.

“Jadi sekarang di peringkat mahu menilai permainan makyong. Sedangkan wayang kulit sudah lama kita benarkan.

“Cuma permainan makyong perlu dikaji terlebih dahulu oleh jawatankuasa khas yang dilantik,” ujarnya kepada media selepas majlis pelancaran beca elektrik baharu di sini hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Baru-baru ini pelapor Pertubuhan Bangsa Bersatu Karima Bennounce menggesa Kelantan membatalkan larangan persembahan makyong dan wayang kulit serta persembahan tradisional lain. – HARAKAHDAILY 13/3/2019