“Rileks Bro… Jangan melatah, gelabah, cuak”

SAYA tidak sebut sama sekali PAS – Umno akan tubuhkan kerajaan di Kedah bersama tujuh Adun PKR. Ini andaian YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang kita sendiri dapat meneka puncanya. Rileks Bro… Jangan melatah.

Advertisement

Kerajaan Perpaduan Umno – PAS belum dibincang oleh PAS Pusat, apatah lagi PAS Kedah. Ia baru di peringkat cadangan yang dilontarkan oleh Pemangku Presiden Umno sahaja. Rileks Bro… Jangan nampak gelabah.

PAS dan Umno tak cukup kerusi pun di Kedah untuk menubuhkan kerajaan. Dengan demikian sindiran Mukhriz Mahathir kepada sikap pemurah Umno menyerahkan Kedah kepada PAS melalui Unity  Goverment (UG) tidak berbangkit pun. PAS tak sebut, Umno tak sebut, tapi tuptup Mukhriz Mahathir yang sebut ‘UG’. Rileks Bro… Jangan cuak tak tentu arah.

Sogokan RM90 juta Umno kepada PAS dari duit 1MDB diakui oleh PAS? Aik! Bila tu? Bawa bukti nak tengok. Bukti sogokan dan bukti pengakuan. Kalau tak ada bukti tapi tetap nak tuduh juga, boleh tambah koleksi fitnah PH kepada PAS untuk tutup kelemahan ‘manifesto kencing’ PH. Boleh ‘join‘ Kelab DSAI dan Rafizi.

Dengan dua kerusi saja, DAP berupaya melantik Ahli Majlis dan MPKK di seluruh Kedah, termasuk di kawasan Melayu ‘totok’ seperti Sik, Baling Padang Terap dan Pendang. Makin meluas dan malata agenda DAP masuk ke jantung hati orang kampung.

Dengan dua kerusi itu saja, Exco DAP mampu menubuhkan task force bagi menyelesaikan isu-isu orang Cina di bandar dan kampung baru. Semua fail task force tak ada ‘bin dan binti’ . Dengan dua kerusi itu saja, pintu pejabat Pegawai Tadbir Negeri boleh dihempas keras oleh Exco gara-gara pegawai tidak dapat melaksanakan kemahuan politiknya. Kalau tak tahu, bolehlah mulakan siasatan. Bayangkan dua kerusi itu ada 42 ‘Taiko’ di Putrajaya berbanding 13 kuntum Bunya Raya ditambah beberapa katak politik.

Dato’ Seri jangan lupa DAP masih ada empat kerusi daripada Kelab Penyokong DAP yang bersembunyi dalam parti cangkul yang dineutralisasikan sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Inilah sebab PAN dapat semua yang dimahukan.

Sejak lahir, belum ada satupun kepentingan politik DAP yang tidak didokong oleh PAN. Di Kedah, pada jika ditelanjangkan semua parti dalam PH pada petang hari Jumaat Dato’ Seri mengangkat sumpah jawatan MB, Bersatulah parti paling kurus (5), berbanding PKR (7) dan DAP (6).

Saya kesiankan PKR, walaupun punya nama-nama besar, tapi menjadi melukut di tepi gantang dalam Kerajaan Kedah. Tak bolehkah YAB MB pertimbangkan cadangan saya supaya wujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar untuk mereka? Bila ada Timbalan MB, jika YAB MB berlama-lama di KL, di London atau Kanada bersama keluarga, Timbalan MB boleh menjalankan tugas MB di Wisma Darul Aman. Beri TMB kuasa mempengerusikan Mesyuarat Exco. Tak perlulah lagi mesyuarat Exco Kedah terpaksa dibuat di Tapah, Perak.

Kedah perlu melonjak ke depan dengan gagasan besar, meyakinkan rakyat dan pegawai-pegawai tadbir untuk bergerak bersama kerajaan. Kalau setakat melaksanakan rutin pentadbiran negeri, tidak ada MB dan Exco pun Kerajaan Kedah takkan runtuh, apatah lagi dijajah oleh Siam.

Saya tahu calar dalam PH sudah menjadi luka libasan parang. Tunggu langkah terakhir saja siapa yang akan putus kepala. Rileks Bro… PAS dan Umno nak tunggu tengok saja. Kita bersiap untuk kepentingan Islam dan Melayu dijulang semula. – HARAKAHDAILY 13/3/2019