Taawun: Menggamatkan politik Malaysia Baharu

KETIKA PAS bertahaluf siyasi dengan Umno pada 1974, syiar Islam makin marak di negara ini. Laungan azan di radio dan televisyen muncul selepas itu.

Advertisement

Malah banyak amalan peninggalan penjajahan yang bercanggah amalan Islam semakin ditinggalkan. Setidak-tidaknya kelibat PAS dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) menyemarak ruang dakwah.

Sekarang situasi agak berbeza. Konsep Rahmatan Lil Alami sebaliknya memberi ruang muncul barisan pejuang hak asasi. Maka muncul berkali kali kumpulan pelangi yang dikaitkan dengan LGBT.

Kata seorang menteri, perlu kasih sayang santuni golongan songsang. Mungkin berpaksi kasih sayang itulah puak pelangi semakin galak sekarang. Siapa yang beri kepala sebenarnya.

Tidakkah nampak perbezaan ketara dalam dua kondisi tersebut. Ramai bimbang Rahmatan Lil Alami mengulangi falsafah Islam Hadhari, sekadar tinggal nama.

Maka LGBT muncul dan terus mara. Ia mewarnai politik Malaysia Baharu sekarang. Ramai yang bertanya keberanian apa yang mereka miliki. Mungkinkah perjuangan mereka serasi dengan penguasa politik hari ini.

Isu LGBT muncul ketika kesedaran baharu politik Melayu-Islam sekarang.

PAS dan Umno yang berkerat rotan sejak 1978 tiba-tiba melafaz maaf zahir batin.

Malu apa bossku untuk bertaawun dalam citra yang sama. Dalam situasi sekarang apakah taawun itu seumpama peristiwa 1973.

Ketika itu lahir kerajaan campuran antara kedua-dua parti Melayu terbabit. Jejak peristiwanya juga bermula dengan gugat terhadap ketuanan Melayu dan Islam.

PRU 1969 Perikatan yang dianggotai Umno-MCA-MIC hilang majoriti dua pertiga di parlimen. Perikatan memperolehi 95 kerusi dengan jumlah undi 49.3 peratus.

Sebaliknya pembangkang menguasai 50.7 peratus dengan 49 kerusi. Dicatatkan Gerakan dan DAP berkempen menentang hak istimewa Bumiputera di bawah Artikel 153.

Gerakan, DAP, dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 kerusi manakala PAS menguasai 12 kerusi.

Berikutan itu Gerakan dan DAP mengadakan perhimpunan meraikan kemenangan di Kuala Lumpur pada 12 Mei 1969. Detik-detik itulah bermula sejarah hitam 13 Mei.

Ramai bimbang bayangan lama 1969 seperti mahu diulangkan semula. Apakah nawaitu apabila pemimpin DAP dikatakan berani menyebut ‘warn Umno-PAS union will declare war on non-malays’.

Mungkin maksudnya DAP memberi amaran taawun PAS-Umno seperti mengisyiharkan perang terhadap orang bukan Melayu.

Biarpun kemudiannya pembetulan dibuat dengan mengeluarkan istilah ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’ namun nasi sudah menjadi bubur.

Ketika puluhan laporan polis dihala kepada pemimpin terbabit, tiba-tiba muncul lagi ungkapan hampir sama daripada parti serupa.

Ada yang menuduh seolah-olah penyatuan parti Melayu bakal melahirkan taliban.

Tidakkah istilah ‘mengisytiharkan perang’ dan taliban menggambarkan keresahan mendalam terhadap penyatuan ummah yang sedang berlangsung sekarang.

Istilah Taliban juga pernah dikaitkan terhadap calon PAS di Pahang ketika kempen PRU lepas. Namun akhirnya rakyat menolak cubaan provokasi itu, di mana calon terbabit sekarang bergelar YB.

Berdasar kronologi yang berlaku sekarang PH benar-benar kelihatan bimbang terhadap biduk lalu kiambang bertaut.

Jelaslah situasi sekarang istilah taawun benar-benar menggamatkan politik Malaysia Baharu. DAP dan PKR pernah menuai hasil berganda ketika taawun dengan PAS pada PRU 1999, 2008 dan 2013.

Pada 2015 mereka menjarakkan diri dengan taawun tersebut. DAP memulakan gendang perang terhadap PAS bermula di Sarawak.

Hari ini taawun hangat semula, namun paksinya membuak-buak di atas semangat Melayu-Islam. – HARAKAHDAILY 13/3/2019