Himpunan Kebangkitan Ummah Lenggong 18 Mac

LENGGONG: Himpunan Kebangkitan Ummah yang dianjurkan bersama PAS dan Umno diharap menjadi titik permulaan penyatuan umat Melayu-Islam khususnya di Parlimen Lenggong sempena program tersebut di Arena Amanjaya, Lawin, di sini 18 Mac depan.
 
Ketua Penerangan PAS Kawasan, Mohmad Saidi Sabri berkata, program besar yang julung kali dianjurkan bersama kedua-dua parti terbesar orang Islam dan Melayu itu diharap mendapat sambutan hangat daripada ahli-ahli, para penyokong, pengundi dan penduduk tempatan.
 
Maklumnya, program bermula jam 2 petang hingga 12 malam itu akan dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pimpinan besar kedua-dua parti, iaitu Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad; Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria; Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Ashraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Umno Negeri, Dato’ Saarani Mohamad.
 
“Program besar peringkat kawasan Parlimen Lenggong anjuran bersama PAS dan Umno ini diharap menjadi titik permulaan perpaduan ummah dan diharap mendapat sambutan hangat.
 
“Umat Islam, khususnya orang Melayu di seluruh kawasan Lenggong diharap dapat hadir beramai-ramai memenuhi Arena Amanjaya Lawin yang luas bagi memeriahkan program itu nanti,” ujarnya kepada Harakahdaily.
 
Mohmad Saidi berkata, program itu juga akan diisi dengan beberapa acara menarik  yang dimulai dengan konvoi motorsikal, ziarah bersama Pemuda PAS dan Pemuda Umno, selain program santai Pemuda dan minum petang di Felda Lawin Selatan.
 
Juga tambahnya, aktiviti Wanita, Puteri dan Muslimah, bacaan Yasiin di Masjid Lawin, Solat Maghrib, Solat Hajat, kuliah Maghrib dan Solat Isyak, hinggalah cara kemuncak ialah ceramah perdana oleh pimpinan-pimpinan besar kedua-dua parti. – HARAKAHDAILY 14/3/2019
IMG 20190314 WA0041
Advertisement