Tapah akan zahirkan kebangkitan ummah 16 Mac

TAPAH: Tindakan tidak popular Kerajaan PH yang banyak mengguris hati kaum majoriti serta angkuh mencabar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah membibitkan penyatuan umat Islam-Melayu di negara ini.
 
Inisiatif ini dipelopori dua parti Melayu-Islam terbesar tanah air yang diperkuatkan dengan dokongan NGO-NGO dan disatukan atas platform Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), sekali gus bersiap kembali ke teraju politik negara.
 
Suntikan semangat kebangkitan sama turut melanda seluruh negeri ini hasil ledakan dari Himpunan Perpaduan Ummah Kebangsaan yang berlangsung di Kampung Gajah, Pasir Salak pada 17 November tahun lalu.
 
Kini kehangatan sama sedang membahang terasa dengan semarak kain rentang yang bergantungan merata di sekitar Temoh, Tapah dan Bidor sempena Himpunan Perpaduan Ummah di Arena TN50, di sini 16 Mac nanti.
 
Kesungguhan persediaan himpunan tersebut turut diperlihatkan pihak PAS yang melancarkan kutipan sumbangan melalui ahli-ahli dan penyokongnya di Cawangan menerusi jualan dodol sebekas dengan harga RM10.
 
Pun begitu, tidak kurang juga kejutan kepada mereka apabila Presiden NGO Geng Ustaz, Ustaz Norazli Musa yang ditaklifkan sebagai Pengerusi Majlis untuk program itu nanti telah meninggal dunia di Madinah, kelmarin.
 
Namun, kata wakil UMMAH, Salmah Abd Latiff, berita pemergian Almarhum tetap menyuntik semangat urusetia mengenang jiwa perjuangan yang telah diikonkan Ustaz Norazli sepanjang hayatnya.
 
“UMMAH berjaya menemukan pemimpin Melayu pelbagai dimensi sebanyak empat kali di meja perbincangan. Mudah-mudahan ia menatijahkan sesuatu yang bermakna buat umat terutama di Tapah yang 55 peratus pengundinya adalah Melayu,” ujar Urusetia Himpunan, Dzulbahrin Jalun.
 
Orang ramai yang ingin turut sama menyumbang dan bersolidariti pada himpunan itu nanti boleh menyalurkannya ke akaun CIMB 8004891815 atas nama PAS Kawasan Tapah dan maklumkan ke Bendahari, Bajeri Ismail di talian 017-574 0895. – HARAKAHDAILY 14/3/2019
IMG 20190314 WA0035
Advertisement