Toksik: Nyawa tidak boleh diambil kira faktor kerugian

KUALA LUMPUR: AJK Lajnah Alam Sekitar dan Asas Tani PAS Pusat, Huzir Sulaiman menegaskan bahawa kes pencemaran ekoran pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang boleh menemui jalan keluar dengan syarat sumber tenaga dan kewangan mencukupi.

Advertisement

“Jawatankuasa bencana negeri perlu cepat menilai keadaan dan segera membuat keputusan sama ada perlu isytihar darurat bencana atau pun tidak.

“Soal nyawa tidak boleh diambil kira faktor kerugian terhadap perniagaan yang terkesan bahkan perlu mengutamakan nyawa rakyat terlebih dahulu, soal wang ringgit dikemudiankan,” tegas beliau.

Menurut beliau, kerja pembersihan sisa melibatkan skala besar memerlukan peralatan yang sesuai, mencukupi dan sumber tenaga yang memadai.

Katanya, jika sumber negeri tidak mencukupi, sumber dari negeri lain serta Kerajaan Pusat wajar segera digerakkan.

Bagaimanapun, beliau melihat semua agensi sudah berganding bahu untuk mengawal keadaan di sana cuma jumlah mangsa yang semakin meningkat amat membimbangkan kerana terdapat satu indikator seolah langkah kawalan kurang berkesan.

Beliau turut menyarankan agar keputusan yang bakal dibuat oleh mana-mana pihak wajar mengambil kira seluruh perumahan penduduk, pekerja premis perniagaan dan bukan hanya tutup sekolah sahaja.

“Apa yang paling utama ialah selamatkan nyawa terlebih dahulu dan pada masa yang sama bertindak untuk mengawal lokasi pencemaran daripada terus merebak,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 14/3/2019