Toksik: Solat hajat mohon keselamatan

SEMALAM saya telah mencadangkan perisytiharan darurat di Pasir Gudang dengan mengosongkan kawasan bagi mengelakkan lebih ramai terdedah kepada pencemaran toksik.

Advertisement

Hari ini MP Pasir Gudang dari Pakatan Harapan pula membawa usul tergempar perisytiharan darurat dan dibahas oleh beberapa ahli parlimen.

Malangnya kerajaan menerusi jawapan menteri-menteri pada jam 5.30 petang tadi sepakat menolak usul itu dengan alasan tindakan yang diambil sekarang sudah semacam darurat.

Sebaik berakhir sidang, saya sempat bertemu rakan saya Ahli Parlimen Pasir Gudang bagi mengucapkan takziah atas tragedi dan berkongsi keresahan hatinya sebagai Ahli Parlimen kawasan.

Terpulanglah kepada PH kerana mereka yang menjadi kerajaan dan berkuasa menilai keadaan. Setakat ini lebih 900 orang telah terkesan dengan pencemaran ini dan 111 buah sekolah telah diarahkan tutup sehingga tarikh yang akan dimaklumkan. Usaha-usaha pembersihan toksik sedang dijalankan.

Kita berdoa agar rakyat di Pasir Gudang diberikan keselamatan segera oleh Allah dan keadaan kembali pulih secepat mungkin.

Saya mengajak rakyat muslim khususnya melakukan solat hajat agar rakyat Pasir Gudang diberikan keselamatan. – HARAKAHDAILY 14/3/2019