Belum masa kerajaan campuran PAS-Umno

KUALA TERENGGANU: PAS menjelaskan kerjasama dengan Umno khususnya adalah di peringkat taawun atau kerjasama antara kedua-duanya.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pada peringkat kerjasama itu PAS sedia membantu Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau.

“Kita baru di peringkat bertaawun, kerjasama. Belum lagi kerajaan campuran. Pilihan raya lambat lagi.

“Peringkat kita ini kerjasama khususnya dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan di (Dun) Rantau, kita akan bekerjasama untuk bantu,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtima’ Guru PAS Terengganu 2019, di Dewan Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Ketika menjawab persoalan apakah PAS bersetuju dengan cadangan kerajaan campuran itu, kata beliau, belum tiba masanya lagi.

“Itu nanti kita kena lihat kerajaan campuran yang pernah saya katakan itu mesti melibatkan semua parti-parti politik. Bukan sahaja satu parti sahaja, yang kita lihat mana-mana parti yang bersikap positif.

“PAS mengambil kira bukan sahaja Umno termasuklah parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang ada krisis dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini, termasuklah juga Gagasan Sejahtera (GS), bukan satu parti sahaja,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS akan memperincikan cadangan Umno berkait dengan kerajaan campuran itu.

Ini kerana, katanya PAS sebuah parti yang berpengalaman dan pernah menyertai kerajaan campuran suatu ketika dahulu.

“Kita akan perincikan lagi kerana kita (PAS) berpengalaman dalam kerajaan campuran tahun 1977,” tegasnya.

Kerajaan campuran itu dicadangkan oleh Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan atas nama Kerajaan Penyatuan Ummah, yang melibatkan empat negeri Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu. – HARAKAHDAILY 15/3/2019