MIC: Bukan Islam lebih terjamin di bawah PAS

DI KALA pemimpin DAP menuduh Malaysia akan menjadi ‘Negara Taliban’ di bawah pemerintahan PAS, dan di saat pemimpin PAN menyokong kuat dakyah dan hasutan DAP, tampil pemimpin MIC membela PAS di Parlimen.

Advertisement

syahir2Perbahasan menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat menyaksikan Ahli Parlimen Tapah, YB Datuk Seri M. Saravanan, yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, menyokong penuh usaha penyatuan ummah di antara dua parti politik Melayu terbesar, iaitu PAS dan Umno, yang dilihat boleh membawa kebaikan ke arah penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ketika diajukan pertanyaan oleh Ahli-Ahli Parlimen DAP berkenaan pendirian MIC terhadap kerjasama PAS dan Umno, beliau menyatakan secara terbuka bahawa “MIC tiada halangan dan kami menyokong penuh usaha ini”.

Malah YB Datuk Seri M. Saravanan turut menegaskan di dalam Dewan yang mulia bahawa:

1. Masyarakat bukan-Islam lebih terjamin di Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh PAS;

2. Kita tidak pernah dengar orang bukan Islam berhijrah daripada Kelantan dan Terengganu kerana diperintah oleh PAS;

3. Untuk rekod Parlimen, di bawah pemerintahan PAS, tiada mana-mana rumah ibadat bukan Islam dirobohkan di Kelantan dan Terengganu; dan

4. PAS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membela kebajikan orang bukan Islam di seluruh negara (Dewan Himpunan Penyokong PAS).

Malah beliau turut menolak tuduhan Ahli Parlimen Jelutong (DAP) yang mengatakan PAS pernah mendakwa bahawa orang bukan-Islam tidak boleh dilantik sebagai Menteri.

“Fitnah itu kekal sebagai fitnah,” ujar YB Datuk Seri M. Saravanan.

Setinggi penghargaan diucapkan kepada MIC di atas keterbukaan dan kematangan berpolitik yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi MIC, bermula daripada pertemuan bersejarah di antara Presiden MIC dan Presiden PAS pada 19 Ogos 2018, seterusnya disusuli dengan beberapa pertemuan dan program bersama Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin MIC ini jelas berbeza dengan sikap pemimpin DAP yang sering menanamkan bibit kebencian dan sentimen perkauman di dalam negara, malah tidak senang apabila PAS mengambil usaha untuk merapatkan hubungan di antara kaum dan agama dalam negara.

Dalam menghadapi penentangan musuh yang sering menabur fitnah bagi menjauhkan rakan bukan-Islam daripada Islam, Presiden PAS telah mengingatkan di dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS 2018:

1. PAS menghadapi cabaran kerana terus beristiqamah untuk menyelamatkan masyarakat dengan Islam, menghadapi penganut Islam yang tenggelam di dalam kejahilan beragama, dan kalangan bukan-Islam yang tenggelam dalam kekeliruan dan fitnah ‘Islamofobia’.

2. DHPP adalah jambatan penting menghubungkan kita dalam masyarakat majmuk bagi menjalin hubungan dengan parti komponen Barisan Nasional dan NGO berpengaruh, supaya rakan-rakan kita memahami mesej yang kita bawa, dan kita juga memahami keperluan rakan-rakan kita.

Hakikatnya, keadilan Islam yang ditunjukkan oleh PAS di bawah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah bukti bahawa Islam melindungi hak warga bukan-Islam untuk hidup aman dan damai di bawah pemerintahan Islam, serta mengiktiraf peranan semua pihak ke arah mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi dalam negara.

#IslamForAll
#PASForAll

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Pemuda PAS
15 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 15/3/2019