PAS kutuk tembakan di masjid N Zealand

nz3

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya serangan tembakan rambang membabitkan suspek bersenjata yang melepaskan tembakan di dua buah masjid di bandar Christchurch yang mengakibatkan sejumlah besar terkorban dan cedera.

Advertisement

idris2Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata serangan berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam kerana Islam adalah ajaran yang mendamaikan serta harmoni kepada seluruh umat manusia.

“Sama ada penembak itu tidak siuman atau memang ia sebenarnya fobia kepada Islam (Islamofobia) sehingga mereka berani melepaskan tembakan secara rambang tanpa ada rasa belas kasihan dan perikemanusiaan.

“PAS mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat,” katanya kepada Harakahdaily.

Media Agensi melaporkan seorang lelaki dipercayai penyerang telah menembak secara rambang di dua buah masjid dan memberitahu tujuan dia melakukan serangan tersebut sebagai mengurangkan jumlah pendatang asing dan sebagai membalas dendam terhadap rempuhan trak Stockholm di Sweden pada tahun 2017.

Media asing yang lain juga melaporkan angka terkorban setakat ini mencecah 40 kematian dan 20 orang cedera dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, yang berlaku semasa solat Jumaat.

Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews berkata bendera akan diturunkan separuh tiang di Australia hari ini dan bangunan di Melbourne akan dinyalakan sebagai penghormatan terhadap tragedi. – HARAKAHDAILY 15/3/2019