PH cabuli lagi manifesto PRU

PASIR MAS: Impian Malaysia baharu bagi memperlihatkan perubahan struktur parlimen nampaknya tidak berlaku.

Advertisement

Ini dapat dilihat jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang pernah dijanjikan dalam manifesto untuk diberi kepada pembangkang seperti enggan lagi dilaksanakan.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Abdullah Mat Nawi berkata, sepatutnya selepas Ronald Kiandee menyertai Bersatu jawatan pengerusi PAC diberi kepada ahli parlimen pembangkang lain.

Katanya, nampaknya reformasi parlimen seperti diimipikan PH tidak menjadi kenyataan.

“Sedangkan perkara itu terkandung dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum lepas,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pasir Mas di Markas Tarbiah Pohon Buluh, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Dato’ Hanifa Ahmad, Adun Meranti Dato’ Mohd Nassurudin Daud, ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Adun Tendong Rozi Muhamad.

Baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata janji jawatan pengerusi PAC hanya sekadar dasar dan bukan perlembagaan.

Che Abdullah yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan berkata, PH dilihat mencabuli apa yang pernah dijanjikan mereka. – HARAKAHDAILY 16/3/2019