Sokong wujud jawatan timbalan MB

SIK: Pembangkang Kedah menyokong penuh jawatan Timbalan Menteri Besar diwujudkan memandangkan ia boleh dilakukan dengan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah berdasarkan keperluan semasa.

Advertisement

Menurut Ketua Pembangkang Adun Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor, Menteri Besar sekarang ini dilihat agak ‘sibuk’ memandangkan beliau juga seorang ahli parlimen selain mempunyai komitmen sebagai Timbalan Presiden Bersatu).

“Bersatu sebuah parti baharu yang belum stabil dan belum mempunyai kekuatan keahlian di peringkat akar umbi tetapi ramai pemimpin. Sementara Presidennya pula masih belum cergas dan sudah tentulah parti itu memerlukan perhatian yang lebih dari timbalannya,” kata beliau,

Menurut Adun Jeneri itu lagi, sekiranya kerusi penting itu dapat diwujudkan, mengisi atau mengosongkannya adalah perkara nombor dua.

“Terdapat negeri yang mempunyai kerusi Timbalan Menteri Besar atau Ketua Menteri selain dua jawatan Timbalan Ketua Menteri.

“Sementara itu ada juga negeri yang tidak mengisinya walaupun kerusi itu wujud. Ia berdasarkan keperluan dan realiti semasa negeri itu,” katanya.

Beliau tidak menyangkal kesibukan menguruskan parti memerintah yang berbagai ragam di seluruh negara, serta menghadiri Sidang Parlimen di Kuala Lumpur yang mengambil masa yang panjang dan tumpuan yang lebih membuatkan Menteri Besar Kedah sekarang menghadapi kekangan masa terutama menjalankan tanggungjawabnya mengurus negeri dan kerajaan.

“Tidak mungkin beliau ke parlimen untuk mencatat kehadiran sahaja. Malah perlu masa untuk menyiapkan perbahasan, menghadamkan pelbagai perkara sebagai kerajaan baharu.

“Keluarga beliau juga masih menetap dan belajar di Kuala Lumpur tentulah banyak juga urusan keluarga perlu dibereskan di sana,” sambung Sanusi.

Oleh itu katanya, amat rasional sekali andainya jawatan berkenaan diwujudkan kerana sewaktu ketiadaan beliau, perkara penting yang memerlukan keputusan segera terutama berkaitan kepentingan negeri dan rakyat boleh diuruskan oleh timbalannya serta Exco-exco yang ada dan tentulah perjalanan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan teratur.

“Sekurang-kurangnya tuduhan banyak pihak bahawa kerajaan negeri sekarang diperintah oleh seorang dua orang pegawai beliau yang dibawa dari Kuala Lumpur, dapat dihentikan.

“Walau bagaimanapun, kita hanya kemukakan cadangan. Terpulanglah kepada kerajaan PH Kedah untuk memutuskannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2019