Medan dakwah luas kesan hubungan PAS – Umno

SERDANG: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Serdang Kali Ke-29 telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Advertisement

Beliau yang juga Adun tunggal PAS di negeri ini dalam ucapannya mengingatkan para perwakilan berhubung tanggungjawab yang semakin bertambah untuk digalas dan disempurnakan.

“(Terutama) Dalam memahamkan masyarakat bahawa politik Islam bukan hanya satu alternatif, tetapi adalah satu gerakan terbaik membentuk masyarakat majmuk.

“Ini termasuk tanggungjawab dakwah apabila PAS membuat keputusan bekerjasama dengan Umno (di mana) walaupun banyak suara mengkritik, ada kata PAS jangan kena tipu dengan Umno kali kedua.

“(Tapi) Kita seharusnya memandang positif perkara ini. Dulu ruang untuk menerang Islam dan matlamat perjuangan PAS kepada Umno tertutup rapat, kini semakin terbuka dan perlu dimanfaatkan.

“Teruskan usaha dakwah, mungkin pemimpin Umno meninggalkan kita (kelak), tapi percayalah ahli bawahannya akan bersama kita,” yakininya pada majlis di Bukit Mahkota, di sini hari ini.

Adun Sijangkang itu mengemukakan usaha ziarah dilakukan PAS yang banyak menerima reaksi positif daripada ahli Umno dan menyeru perwakilan menjadikan mesyuarat itu sebagai pemacu masa depan. – HARAKAHDAILY 17/3/2019