KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim meminta Menteri Industri Utama menyatakan adakah pihak kementerian telah melaksanakan harga lantai pembelian getah (cup lump) seperti yang dijanjikan RM2.50.
Beliau turut mempersoalkan apakah kaedah yang akan diambil sekiranya tidak dilaksanakan.
Beliau mengemukakan soalan tersebut ketika pertanyaan bagi jawab lisan.
Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kerajaan belum bercadang untuk meletakkan harga lantai bagi getah skrub kerana pelaksanaan harga lantai akan memberikan kesan kewangan yang ketara kepada kerajaan.
“Pada hermat kementerian, penetapan harga lantai ini akan memerlukan sumber kewangan yang tinggi,” tambah beliau.
Awang turut mengemukakan soalan tambahan dengan mempersoalkan adakah kerajaan menunggu keadaan seterusnya imbuhan tanam semula sebanyak RM9,600 kepada penanaman semula getah.
“Adakah kerajaan bertujuan untuk meningkatkan kepada sebelas atau dua belas ribu.
“Hal ini kerana dalam masa penjualan getah satu kilogram, ianya dipotong sebanyak 10 sen untuk penanaman semula dan 4 sen untuk Lembaga Getah Malaysia sebagai kajian dan sebagainya,” ujarnya.
Oleh itu, beliau meminta agar kerajaan meningkatkan imbuhan dan tanam semula sebanyak sebelas atau dua belas ribu.
Hal ini kerana kerajaan masih untung dalam masa 25 tahun penanaman getah yang ditoreh jika dikira secara kasar kerajaan mendapat sebanyak RM12,800.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan memulangkan balik kepada penanaman semula hanya RM19,600.
“Adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan daripada RM9,600 kepada sebelas atau dua belas ribu kepada penanaman semula getah,” soal beliau.
Shamsul berkata, apa yang dibangkitkan adalah di bawah RISDA, jadi beliau akan memanjangkan kepada pihak pengurusan RISDA agar cadangan tersebut dapat diteliti dan perhalusi dalam usaha untuk membantu pekebun kecil. – HARAKAHDAILY 18/3/2019