Mesti usaha penuhi ciri gerakan dan pemimpin

BAYAN LEPAS: Kepimpinan adalah amanah yang sangat besar apatah lagi untuk membawa manusia ke jalan kebenaran di mana ia dipikul peranannya kini oleh jamaah atau gerakan Islam.

Advertisement

Oleh demikian, memastikan ianya terlaksana sempurna mengikut ketetapan yang telah ditentukan, maka pendukung jamaah atau gerakan mesti memenuhi ciri-ciri telah digariskan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menghurai perkara tersebut dalam ucapan aluannya pada perasmian Mesyuarat Agung Zon Pulau, kelmarin.

Ia menghimpunkan PAS Kawasan Balik Pulau, Bayan Baru, Bukit Gelugor, Bukit Bendera, Jelutong dan Tanjong pada majlis yang disempurnakan di Dewan Balai Raya Sungai Ara, di sini.

Merujuk kepada kertas kerja ditulis Murabbi PAS, Almarhum Ustaz Yahya Othman, beliau memetik perkara utama bagi jamaah atau gerakan sebagaimana definisi oleh Saidina Umar R.A.

“Tidak tertegak Islam melainkan dengan berjamaah, tidak ada jamaah melainkan adanya kepimpinan dan tidak bermakna kepimpinan melainkan dengan adanya ahli memberi taat dan wala’,” tegas beliau.

Menurut Ustaz Fauzi, sebarang kecuaian kepimpinan akan menjadi bencana di mana para ulamak memperincikan pula ciri yang diperlukan dalam melantik pemimpin.

Digariskan beliau antaranya ialah ikhlas yakni benar-benar mahukan keredaan Allah dengan bersih dari sifat riak dan mahukan pujian, selain cergas fikiran serta kuat peribadi.

Pemimpin juga katanya, mestilah dapat mengawal diri sendiri yakni tenang tidak pemarah, bersifat pengasih serta memupuk kasih sayang sesama ahli dan masyarakat.

“Pemimpin juga mesti mampu berpolitik dengan matang dan sejahtera. Bukan beramal dengan politik balas dendam. Juga bersikap lemah lembut dan bermaruah.

“Juga memiliki sifat bercakap benar dan berhati-hati menerima perkhabaran dengan tidak menyebar sesuatu tanpa kepastian,” kemuka beliau.

Mesyuarat tersebut dirasmikan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik dan dihadiri semua kepimpinan PAS Kawasan-kawasan dalam Zon Pulau. – HARAKAHDAILY 18/3/2019