Pemuda S’gor hantar memo kepada DAP

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor hari ini menyerahkan memorandum memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya berhenti mengeluarkan kenyataan biadap berhubung kerjasama PAS dan Umno.

Advertisement

Ketuanya, Ustaz Syarhan Humaizi Halim meminta pemimpin DAP supaya tidak lagi membuat provokasi menakutkan orang bukan Islam berhubung kerjasama politik PAS dan Umno dengan dakwaan tidak benar.

“Terutama menteri-menteri. Mereka menteri bukan untuk DAP atau PH (Pakatan Harapan) sahaja, mereka menteri untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Macam mana seorang menteri boleh mengeluarkan kenyataan begitu (provokasi). Saya minta supaya pimpinan DAP berhenti mengeluarkan kenyataan provokasi,” katanya ketika menyerahkan memorandum bantahan dan amaran terhadap kebiadapan DAP di hadapan ibu pejabat DAP di Jalan Yew, Pudu, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata, satu himpunan besar akan dianjurkan bagi menunjukkan solidariti membantah sikap biadap DAP sekiranya parti tersebut tidak memohon maaf secara terbuka.

Penyerahan memorandum di ketuai Ustaz Syarhan bersama Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, Ustaz Imran Selamat kepada pemimpin DAP yang diterima oleh Setiausaha Eksekutif Wanita DAP Chin Pei Chi.

Dalam memorandum itu mendesak supaya pemimpin DAP menghentikan segera dan memohon maaf secara terbuka terhadap kenyataan biadap beberapa pemimpin parti itu.

Dalam masa yang sama, meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meletak jawatan sebagai menteri kerana rekod buruknya mengeluarkan kenyataan melampau dan biadap serta meminta pihak polis menyiasat segera Guan Eng di bawah Kanun Keseksaan dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sebelum ini, pada 6 Mac lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan menggambarkan kerjasama PAS dan Umno satu ‘pengisytiharan perang’ kepada masyarakat bukan Islam.

Manakala 9 Mac, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyifatkan kerjasama dua parti itu akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Pada 15 Mac, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Chew Chong Sin mencetus kontroversi apabila mengaitkan kes pembunuhan di dua masjid di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama PAS dan Umno sebelum menarik balik kenyataan. – HARAKAHDAILY 18/3/2019

dap2

dap1