Aksi silat antara meriahkan MAT Parit

PARIT: PAS Kawasan Parit telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-53 yang dirasmikan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad di Markas Tarbiyah PAS Titi Gantong, Bota, di sini kelmarin.

Advertisement

Meriahnya, majlis tersebut diserikan oleh persembahan kumpulan gendang Seni Silat Warisan Pusaka juga aksi seni pertahanan diri oleh Silat Gayung Jati Pusaka Gerak Sembilan Wali.

Ustaz Idris dalam ucapannya menerangkan mengenai strategi ta’awun PAS dengan Umno dalam menghadapi musuh politik dari PH sebagaimana juga dibuktikan menerusi PRK Cameron Highland dan Semenyih.

Beliau juga berpesan supaya ahli PAS mengikat diri dengan program tarbiyah agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang boleh menggugat komitmen sebagai ahli gerakan Islam.

Keputusan pemilihan sempena mesyuarat tersebut menyaksikan Ustaz Muhammad Ismi Md Taib menang tanpa bertanding mengekalkan jawatan selaku Yang DiPertua PAS Kawasan buat sesi 2019 – 2021.

Sempena majlis tersebut juga disampaikan Anugerah Usahawan Haraki kepada Azman Zainoddin, Miau Tahar Miau Yaakob, Noriah Adnan dan Khairul Nizam Abu Samat yang banyak menyumbang kepada PAS Kawasan. – HARAKAHDAILY 19/3/2019