PAS, Umno adalah ‘adik-beradik’ – TGHH

BENAR kata pepatah, biduk lalu kiambang bertaut, dan air yang dicincang tidak akan putus.

Advertisement

Dalam membicarakan usaha ke arah perpaduan ummah, kita tidak terlepas dari menyentuh isu perpecahan ummah yang terbit daripada persaingan kuasa dua ‘kabilah politik’ terbesar di kalangan orang Melayu, iaitu PAS dan Umno.

Setiap ‘kabilah politik’ ini dianggotai oleh pelbagai individu yang mempunyai nawaitu, pendekatan dan agenda tersendiri, serta telah berseteru dan berkelahi buat sekian lamanya.

Namun lanskap politik pasca PRU14 mula membibitkan ‘keserasian’ di pihak PAS dan Umno untuk mengembalikan kesatuan dan perpaduan ummah, yang juga boleh membawa kebaikan ke arah penyatuan rakyat berbilang kaum di dalam negara.

Menghadapi senario politik Malaysia Baharu, hubungan PAS dan Umno dilihat sedang memasuki fasa dinamik yang baharu dan perubahan ini merupakan suatu proses yang berlaku secara fitrah (natural), umpama hubungan ‘adik-beradik’ yang kembali bertaut setelah lama berseteru.

Kedudukan ini dijelaskan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) bahawa PAS dan Umno tidak boleh ‘berkahwin’ memandangkan kedua-dua parti itu sebenarnya adalah ‘adik-beradik’.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai ura-ura bahawa PAS akan membentuk gabungan politik baharu bersama Umno dan parti komponen BN lain termasuk MIC dan MCA, sempena program Wacana Islam dan Isu Semasa bertajuk ‘Kesatuan Umat Islam di Malaysia: Prospek dan Cabaran’ anjuran Persatuan Ulama Malaysia di Kuala Lumpur.

Perlambangan ‘adik-beradik’ ini membawa seribu satu makna yang tersendiri, dan memberi dimensi baharu terhadap prospek penyatuan ummah yang lebih cerah.

Seruan penyatuan yang dibawa oleh PAS adalah di atas dasar Islam, mengajak kepada penghayatan ajaran Islam yang sebenar, serta mengiktiraf peranan dan kedudukan masyarakat majmuk dalam negara.

Namun usaha ke arah penyatuan ini telah mengundang rasa tidak senang daripada pihak yang terancam dengan kerjasama ini, khususnya di kalangan pemimpin DAP dan PAN.

Pemimpin DAP antara yang terkehadapan dalam menyebarkan dakyah dan hasutan bahawa Malaysia akan menjadi ‘Negara Taliban’ sekiranya PAS dan Umno bergabung kuasa. Malah dimomokkan pula bahawa kerjasama PAS dan Umno akan mencabar kedudukan warga bukan-Islam dalam negara.

Ternyata dakyah yang disebarkan ini akan tertolak dengan sendirinya apabila rakan-rakan bukan-Islam dapat merasai dan menyaksikan sendiri, keadilan dan keharmonian hidup masyarakat pelbagai agama di Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh PAS.

Justeru usaha ke arah memulihkan hubungan ‘adik-beradik’ di atas dasar Islam adalah suatu perkara makruf yang perlu disegerakan. Hakikatnya hanya musuh yang bergembira, apabila sesuatu bangsa terus bersengketa.

Firman Allah SWT (maksudnya): “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah Al-Hujurat: 10)

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi Pemuda PAS
19 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 19/3/2019