Pemimpin negara wajar contohi PM New Zealand

KUALA LUMPUR: Melihat kepada keprihatinan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang ditunjukkan dalam menangani Tragedi Christchurch, Presiden Parti Ikatan Malaysia (IKATAN) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memuji kewibawaan Ardern.

Advertisement

Katanya, keprihatinan tersebut wajar dicontohi dalam kepimpinan Malaysia.

“Inilah pemimpin yang baik, walaupun Ardern bukan Islam, cara dia menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat muslim di Chrischurch membuktikan bahawa beliau menolak isu keagamaan dan perkauman serta menghormati.

“Itu yang terbaik yang harus diikut oleh pemimpin-pemimpin di Malaysia, sama ada dia memimpin kerajaan mahupun agama, ia mengelakkan salah faham agama,” ujarnya.

Terharu dengan keprihatinan serta kesungguhan Ardern, beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri New Zealand yang ke-40 itu serta menzahirkan rasa simpati beliau terhadap keluarga mangsa dan rakyat New Zealand diatas tragedi New Zealand’s Darkest Day.

“Tahniah kepada beliau, dalam kenyataan akhbarnya beliau begitu emosional, saya sendiri pun sangat terharu apabila beliau sanggup datang dari Wellington pergi ke Christchurch, dia pakai tudung, berpakaian macam orang Islam,” ujarnya sayu.

Katanya, rakyat dan kerajaan New Zealand begitu bertoleransi terhadap penganut agama-agama serta kaum-kaum yang lain.

Beliau pada masa sama, menyifatkan serangan pengganas Brenton Tarrant adalah sesuatu yang hanya akan dilakukan oleh orang yang hilang kewarasan berfikir.

Tambah beliau, ekstremis keagamaan sememangnya wujud di dalam setiap agama dan apa yang harus pemimpin agama lakukan ialah memikirkan kaedah untuk menyekat ekstremis dari mengulangi tragedi sama.

Beliau berkata demikian selepas sidang media pengisytiharan Deklarsi Solidariti Parti Ikatan Bangsa Malaysia terhadap Kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, di sini. – HARAKAHDAILY 19/3/2019