Demokrasi Palsu ‘produk’ terbaharu keluaran PH

LARUT: Malaysia Baharu yang dicanang pemerintahan Kerajaan PH penuh dengan kepalsuan termasuk juga mempraktikkan demokrasi palsu, demikian bidas Yang DiPertua PAS Kawasan Larut, Ustaz Akmal Kamarudin.
 
Menurut beliau pada peringkat awal, kebenaran telah diberi kepada penganjur Himpunan Perpaduan Ummah Kawasan Larut untuk menggunakan premis Arena Square Batu Kurau. 
 
Namun maklumnya, di saat akhir berlaku dolak dalih hingga kemudiannya kebenaran yang telah diberikan tersebut ditarik balik dengan alasan yang langsung tidak munasabah. 
 
“Kita sedih kerana demokrasi di zaman PH ini adalah palsu, tidak cukup janji palsu manifesto, kemudian sijil palsu dan sekarang demokrasi palsu. Rakyat makin boleh menilai prestasi dan janji PH ini,” tempelaknya pada program itu semalam
 
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Dato’ Shaarani Mohamad pula menegaskan bahawa penarikan balik kebenaran ini adalah kerana bangsa DAP yang tidak mahu melihat perpaduan antara umat Islam. 
 
Bidasnya, mereka cukup takut dengan perpaduan ini sehingga mengeluarkan kenyataan yang semakin memualkan seperti menyamakan dengan Taliban, pengisytiharan perang dan pelbagai lagi. 
 
“Ini menunjukkan bangsa DAP ini terlalu takut, sebab itu mereka akan pastikan himpunan ini tidak berjaya,” sambung beliau.
 
Himpunan bersejarah yang dihadiri ribuan penduduk itu menampilkan tetamu khas iaitu Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – HARAKAHDAILY 20/3/2019
Advertisement