Kutuk sikap Islamofobia ditanam musuh Islam

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Damansara telah mengambil pendirian sebulat suara untuk mengutuk sekeras-kerasnya sikap Islamofobia yang ditanamkan musuh-musuh Islam dan perbuatan ekstrem yang membunuh umat Islam di New Zealand baru-baru ini.

Advertisement

Yang Dipertuanya, Mohd Fadli Ghani berkata Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan pada 17 Mac lalu telah memandang serius tindakan keganasan yang membunuh sekitar 50 orang umat Islam di New Zealand, dan mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertamadun itu.

“Dalam satu usul tergempar tentang hal tersebut yang dibawa oleh PAS Cawangan Taman Bidara A, para perwakilan telah disebutkan tentang sikap Islamofobia di kalangan golongan yang membenci Islam telah membawa kepada fahaman sempit yang bersikap terror, sehingga sanggup membunuh umat Islam tanpa sebab yang kukuh,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Hal yang demikian juga, katanya turut dibangkitkan oleh kelompok politik ekstrem di negara ini yang tidak mahu melihat penyatuan umat Islam, sehingga menuduh dengan pelbagai label negatif seperti “isytihar perang terhadap orang bukan Islam,” “Taliban” dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 20/3/2019