Operasi Khidmat M’sia berakhir hari ini

KUALA LUMPUR: Setiausaha Khidmat Malaysia Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil memaklumkan bahawa Bilik Operasi Bencana Khidmat Malaysia (BOBKM) di Pasir Gudang sejak 11 Mac lalu akan berakhir pada hari ini, 20 Mac.

Advertisement

khPasukan bantuan kecemasan yang dianggotai oleh Jabatan Amal dan Briged Muslimat telah bertugas sepanjang sembilan hari membantu menguruskan bencana kesan dari pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim melalui tugasan di Pusat Saringan di Taman Mawar dan Dewan Orangramai Taman Pasir Putih PG sebelum dipindahkan ke Stadium Tertutup Pasir Gudang.

BOBKM telah diketuai oleh Abdul Aziz Abdullah yang merupakan Setiausaha Khidmat Malaysia Negeri Johor bersama Pengarah Jabatan Amal Negeri Johor, Tuan Iqbal Ghani Ismail dan Ketua Briged Muslimat Negeri Johor, Puan Derwena Masuruni.

“Kira-kira seramai 300 orang petugas daripada Jabatan Amal dan Briged Muslimat telah bertugas mengikut giliran yang disusun.

“Tugasan yang telah dilakukan adalah membantu menguruskan pusat saringan termasuk menyiapkan pusat saringan di stadium tertutup, membantu pesakit, mengawal lalu lintas, tugas pembersihan sampah di pusat saringan, menghantar mangsa ke hospital dan membekalkan topeng muka keselamatan.

“Sebuah ambulans dari Jabatan Amal Selangor juga telah turun membantu dengan pasukan medik yang terlatih,” tambah beliau.

Selain itu, petugas Khidmat Malaysia yang hadir dari seluruh negara membantu mengedarkan topeng keselamatan di klinik kesihatan, pasar raya, premis makanan malah ianya diedarkan dari rumah ke rumah.

Khairul merakamkan ucapan tahniah kepada semua petugas yang telah bertugas secara sukarela, mengorbankan wang ringgit dan masa serta para penyumbang yang telah membantu meringankan tugas dengan segala bentuk sumbangan yang datang daripada seluruh negara.

“Terima kasih juga PAS Negeri Johor, PAS Kawasan Pasir Gudang dan PAS Kawasan Tebrau yang terlibat secara langsung membantu menguruskan operasi pada kali ini.

“Ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak pengurusan pusat saringan yang telah memberikan ruang kepada kami untuk sama-sama membantu penduduk di Pasir Gudang,” ujarnya.

Menurut beliau, walaupun BOBKM telah ditutup namun petugas yang akan turun membantu akan terus diuruskan dan perlu melaporkan diri ke Pejabat PAS Kawasan Pasir Gudang.

Terima kasih daun keladi,
Kerana sudi menolong kami,
Jika ada kesempatan nanti,
Diharap sudi bantulah lagi. – HARAKAHDAILY 20/3/2019