Rancang supaya tidak tinggal zuriat lemah

LENGGONG: Umat Islam diingatkan supaya merasa takut atau bimbang sekiranya mereka meninggalkan zuriat keturunan yang lemah dari segi ekonomi, politik, pelajaran, moral dan akhlak.
 
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan, atas mengimani perintah ayat al-Quran mengenai perkara itu, maka PAS dan Umno berusaha mewujudkan perpaduan supaya tidak meninggalkan generasi yang lemah.
 
Menurut beliau, perhimpunan dianjurkan bersama keduanya di seluruh negara bukan untuk pemimpin-pemimpin serta ibu bapa yang ada hari ini, tetapi demi kepentingan anak cucu 50 tahun akan datang.
 
“Cuba bayangkan anak-anak cucu-cucu yang berumur setahun dua tahun yang sekarang ini sedang tidur lena dalam buaian. Mereka tidak tahu apa nasib nereka, apa yang akan berlaku ke atas mereka, yang akan menimpa mereka lima puluh tahun akan datang. 
 
“Kita yang sedang berhimpun inilah yang kena fikirkan mengenai mereka,” katanya, ketika menyampaikan ceramah kemuncak program Himpunan Perpaduan Ummah peringkat Parlimen Lenggong di Lawin, di sini semalam.
 
Himpunan tersebut turut menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria; Pengerusi Umno Negeri Perak, Dato’ Saarani Mohamad dan Ketua Penerangan Umno, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah.
 
Ustaz Idris berkata, masa depan anak-anak, cucu-cucu 50 tahun akan datang perlu dirangka hari ini dengan meletakkan asas yang kukuh, iaitu Islam, sekali gus turut menyelamatkan bangsa-bangsa lain di negara ini.
 
Program dihadiri ribuan ahli, penyokong dan pengundi kedua-dua parti itu dimulai dengan konvoi motorsikal, ziarah golongan daif, pesakit dan orang-orang tua oleh Pemuda PAS dan Umno.
 
Perlawanan bolasepak persahabatan antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno turut diadakan yang berkesudahan kedua pasukan terikat seri 2 – 2 di Padang Felda Lawin Selatan, pada sebelah petangnya.
 
Manakala Muslimat PAS dan Wanita serta Puteri Umno mengadakan majlis bacaan Yaasiin memenuhi Masjid Lawin pada sebelah petang. 
 
Turut dilaksanakan adalah solat Maghrib, solat Hajat, kuliah Maghrib dan solat Isyak berjamaah diadakan di Arena Dataran Lawin. – HARAKAHDAILY 20/3/2019
Advertisement