Toksik: Kuat kuasa longgar, apa tindakan kerajaan?

ISU pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menjejaskan hampir 4,000 penduduk sehingga 111 sekolah yang diarahkan ditutup sementara masih belum selesai, kini telah timbul isu pencemaran sisa kimia baharu di kawasan lain dalam negara kita.

Advertisement

Merujuk kenyataan media, baru-baru ini penduduk digemparkan dengan penemuan pembuangan bahan buangan sisa kimia baharu di Sungai Klang, ladang sawit Bukit Teh Bukit Mertajam, Sungai Masai Utama Taman Rinting dan Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.

Persoalannya, sejauh manakah sistem penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam membendung pencemaran sisa kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?

Saya menyarankan beberapa cadangan penambahbaikan kepada Kerajaan bagi menangani tragedi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim berulang lagi.

i. Kerajaan digesa mengkaji semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas pesalah yang melakukan pencemaran sisa kimia. Mana-mana premis industri yang melakukan aktiviti pencemaran, kos pembersihan perlu ditanggung oleh premis terbabit.

ii. Kerajaan perlu memantau lebih kerap kilang-kilang kimia yang beroperasi terutamanya kawasan perindustrian dengan kawalan yang ketat.

iii. Kilang-kilang haram dengan tegas tanpa berkompromi perlu ditutup oleh pihak Kerajaan.

iv. Kerajaan perlu memastikan kilang-kilang yang beroperasi di setiap negeri perlu menepati syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan terutamanya pengurusan dan pelupusan sisa kimia.

v. Kerajaan perlu menyemak semula kilang-kilang kimia yang dibina berdekatan kawasan perumahan dan sekolah. Kilang-kilang yang tidak berada di zon industri perlu ditutup segera.

vi. Kerajaan disarankan memperkemaskan lagi sistem prosedur operasi standard (SOP) pelupusan bahan buangan sisa kimia dan mewujudkan SOP perpindahan segera penduduk ke tempat yang selamat.

Kerajaan perlu menggembleng tenaga bagi menangani isu ini agar negara kita tidak dinobatkan sebagai “gudang pencemaran sisa kimia dunia” oleh negara lain kelak seperti mana sebelum ini negara kita dikenali “gudang sampah dunia”. Pencemaran bahan buangan sisa kimia ini perlu dibendung awal sebelum parah.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
20 Mac 2019 / 13 Rejab 1440 – HARAKAHDAILY 20/3/2019